Perginya Allahyarham merupakan satu kehilangan yang besar kepada lapangan nasyid tanah air. Semoga Allah merahmatinya dan menerima perjuangannya berdakwah melalui nasyid sebagai bekalan amal kebajikan perintis jalan ke SyurgaNya insyaAllah.
Setiap insan pasti merasa, Saat perpisahan terakhir, Dunia yang fana akan ditinggalkan, Hanya amalan yang dibawa. Terdengar sayup surah dibaca, Sayunya alunan suara, Cemas di dada...lemah tak bermaya, Terbuka hijab di depan mata. Selamat tinggal pada semua, Berpisah kita selamanya, Kita tak sama nasib di sana, Baikkah atau sebaliknya. Amalan dan takwa jadi bekalan, Sejahtera bahagia pulang...ke sana. Sekujur badan berselimut putih, Rebah bersemadi sendiri, Mengharap kasih anak dan isteri, Apa mungkin pahala dikirim. Terbaring sempit seluas pusara, Soal-bicara terus bermula, Sesal dan insaf tak berguna lagi, Hancurlah jasad dimamah bumi. Berpisah sudah segalanya, Yang tinggal hanyalah kenangan, Diiring doa dan air mata, Yang pergi takkan kembali lagi.
“Daripada Allah kita datang, kepadaNya kita kembali”
Surah Ali 'Imran: 185;
"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan baru pada hari kiamatlah
disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke
dalam surga, maka sungguh ia beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah
kesenangan yang memperdayakan."
Setelah beberapa tahun menanggung sakit tibi, batuk kering dan beberapa penyakit kebiasaan orang tua, dan setelah sekian lama berulang alik ke hospital menerima ubat dan ditambah air ke dalam badan, nenekku Hajjah Mek Aa binti Hussein dijemput ‘Izrail kembali ke Rahmatullah. Lebih kurang pada jam 2.20 pagi tanggal 20 Julai lepas.
Usianya di awal 70-an. Penglihatan, pendengaran dan ingatannya masih baik.Tetapi badannya bagai tinggal tulang yang ditutup dengan kulit. Dalam masa seminggu terakhir, kaki dan tangannya membengkak tetapi tidak sakit. Telahan aku ia kerana edaran air atau darah dalam badan yang bermasalah.
Ternyata, Allah lebih sayangkannya dan mendahulukannya daripada kita. Malah Allah kurniakan kepadanya Husnul Khaatimah pada saat kematiannya. Wajah arwah jernih, putih berseri bagaikan ingin bercakap dengan tetamu yang datang menziarahinya. Sejurus sebelum Malaikat maut menjemputnya, adikku menyaksikannya tiba-tiba mengangkat takbiratul ihram dalam keadaannya terlantar sebelum pergi selamanya. Pengurusan jenazah dari mandi jenazah sehinggalah ke bacaan talkin hampir keseluruhannya dibuat sendiri oleh anak-anak dan cucu-cucunya yang ramai. Hanya dua atau tiga orang cucu sahaja tidak berkesempatan mengucup jenazah buat kali terakhir. Jenazah arwah disembahyangkan oleh tidak kurang 500 orang jemaah. Doa orang-orang soleh itu mengiringinya ke alam kubur.
Semua yang mengenalinya, baik tua atau muda, akan menjadi saksi kemuliaan akhlak dan budinya ketika hidup. Tidak mampu untukku coretkan kisahnya walaupun banyak yang boleh dikongsi, termasuk pengalaman manis menemaninya semasa hidup. Yang pasti arwah sangat rajin berzikir dan membaca Al-Quran. Di tangannya atau dekat tempat tidurnya sentiasa ada tasbih dan buku zikir harian. Layak baginya Husnul Khaatimah. Moga syurga Allah menjadi rumahnya yang terakhir, menjadi jiran orang-orang soleh di sana. Marilah kita doakan moga Allah ampunkan dosanya, kasihinya, maafinya, luaskan kuburnya, muliakannya, bersihkannya dari dosa , dimasukkan ke syurga, dijauhkan dari seksa kubur dan azab api neraka. Amin ya Rabbal ‘Alamiin.
Kita yang masih hidup ini bagaimana? Ya Allah, layakkah kami mendapat Husnul Khaatimahdarimu, dari saat malaikatMu mencabut nyawa sehinggalah tempat menghuni di akhirat kelak? Bagaimana sudahnya? (jika) Lidah kami sibuk membicarakan hal duniawi, jari jemari kami pantas memicit kekunci handphone dan komputer, jarang sekali berzikir kepadaMu dan membaca serta membelek kitabMu. Tangan-tangan kami bekerja kuat mencari habuan dunia, tetapi sedikit sekali diinfakkan ke jalanMu. Kaki-kaki kami tangkas bersukan, lekas bergegas ke tempat kerja tetapi jarang sekali melangkah ke rumahMu..ya Allah, layakkah kami..?
Ya Allah, moga-moga dengan mengingati mati ini kami lebih bertaqwa kepadaMu dan lebih mengingatiMu, lebih menghargai segala nikmat kurniaanMu serta mengasihi antara satu sama lain.
Khusus Buat Alumni SMA Al-Khairiah, Kuala Nerang, Kedah.
Sempena Majlis Ihtifal SMA Al-Khairiah 2009
Saya juga rasa terpanggil untuk mempromosikan Majlis Ihtifal SMA Al-Khariah yang akan diadakan pada tanggal 24-25 Jun ini. Satu sambutan ’mega’ untuk diraikan bersama oleh seluruh warga Al-Khairiah, alumni, sekolah-sekolah jemputan serta masyarakat sekeliling. Program tahunan dalam taqwim Al-Khairiah ini juga antara pendekatan yang diambil untuk mempromosikan pendidikan berteraskan Islam yang memperjuangkan kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. Pengisian yang sudah menjadi tradisi dari tahun ke tahun sudah pasti sukaneka antara guru dan pelajar, pameran,demonstrasi, pertandingan muhadharah, malam kesenian Islam serta dua acara penting iaitu Majlis Anugerah Kecemerlangan SMUK dan Forum Agama.
Menjelang sambutan tersebut, pihak sekolah sedang bertungkus-lumus untuk menyiapkan projek menambahluaskan surau SMUK untuk menampung lebih ramai pelajar-pelajarnya. Saya difahamkan oleh Penolong KananHEM SMUK bahawa struktur asal surau tersebut adalah hasil sumbangan Kerajaan Negeri pada tahun 2007 melalui satu projek bernilai RM100,000 tetapi hanya mampu menampung lebih 3 saf penuh lelaki dan 3 saf penuh perempuan atau keseluruhan jemaah lebih kurang 70-90 orang sahaja. Sangat tidak berbaloi. Ke mana dan bagaimana jumlah besar tersebut dibelanjakan boleh dipersoalkan. Apakah ada yang sanggup menelan ribuan RM secara haram dengan mengetepikan kepentingan dan kebajikan pelajar-pelajar sekolah agama ini. Peliknya, penambahan yang dibuat oleh pihak sekolah hampir TIGA (3) kali ganda panjang dari struktur asal itu, walaupun belum siap sepenuhnya, tetapi dianggarkan akan memerlukan belanja kurang dari RM100,000. Ruang yang lebih luas dengan harga yang lebih murah. Jimat dan tiada ketirisan wang berlaku.
Menurut Saudari Napisah Karimah Hj Ismail, Bendahari Persatuan Bekas Pelajar SMA Al-Khairiah, projek tersebut memerlukan jumlah keseluruhan RM90,000.00. Di samping itu, pihak sekolah juga sedang menambahbaik ruang tingkat bawah di bangunan 3 tingkat yang telah hampir 7 tahun terbengkalai dek kerana ketiadaan sumber kewangan. Tingkat bawah tersebut akan dijadikan asrama putera yang baru untuk menggantikan asrama sedia ada yang sangat uzur.
Justeru, dipendekkan cerita, saya mewakili AJK PERKASIH menyeru sumbangan daripada bekas-bekas pelajar SMUK yang berkemampuan untuk menyumbang sedikit bantuan kewangan kepada pihak SMUK bagi meringankan beban menanggung perbelanjaan projek tersebut. Apalah sangat nilai sumbangan RM50,100,200,500 jika nak dibandingkan dengan limpahan ilmu duniawi dan ukhrawi serta pelbagai hikmah dan pengalaman hidup yang kita telah perolehi bertahun-tahun daripada guru-guru di SMUK. Walaupun mampu, memang susah untuk kita keluarkan wang ringgit dan harta benda untuk sesuatu yang ganjaran atau balasannya tidak dapat diterima dan dilihat secara fizikal. Kita cenderung mencari alasan yang pelbagai. Marilah kita tepuk dada tanya diri sendiri, ”Nak atau Tidak? Sanggup atau Tidak?” Kalau jawapannya YA! kita pasti akan mencari seribu jalan dan cara untuk sampaikan sumbangan kepada yang memerlukan. Jika tidak mampu dengan wang ringgit, kita boleh membantu dengan menyebarkan berita ini atau mencari dana daripada mereka yang berkemampuan atau apa saja bentuk bantuan yang munasabah.
Sumbangan anda juga boleh disalurkan melalui Agro Bank di No. Akaun 1005-0610-0001-2441, atau dengan cek atas nama Surau Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Kuala Nerang dan dihantarkan kepada Pengetua SMA Al-Khairiah, Km.38, Jalan Empangan Pedu, 06300 Kuala Nerang, Kedah.
Anda juga boleh menghubungi pihak sekolah di talian 04-7866721 atau bercakap terus dengan Penolong Kanan HEM, Ustaz Mohd Rejab Saad 019-4059607 untuk maksud tersebut. Bagi anda yang memerlukan surat rasmi daripada pihak sekolah serta gambar-gambar surau tersebut, sila hubungi saya melalui email faaqirul_ilmiey@yahoo.com atau telefon 013-4552003/ 019-3852165 atau hubungi saudari Napisah Karimah binti Hj Ismail melaluiemail n_karimah820326@yahoo.com
Kali ini saya ingin berkongsi mutiara penulisan Imam Hassan Al-Banna dengan sahabat-sahabat golongan belia iaitu mereka yang berumur di antara 18 tahun hingga 40 tahun. Berikut adalah ringkasan daripada buku tulisan tokoh gerakan Islam ini yang bertajuk “Wahai Pemuda”. Semoga ia mampu menyuburkan ideologi dan idealisma pemuda Islam pecinta pejuangan memartabatkan Islam di kalangan muda-mudi penentu masa depan bangsa, negara dan agama.
“Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka ke arah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda.
Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.
Itulah sebabnya maka angkatan pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-mana kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan pengjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.”
Allah berfirman; إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى “Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)”.
“Dengan kesimpulan inilah maka kamu, angkatan pemuda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu kamu itu akan menjadi bertambah berat.”
Pemuda adalah harapan ummat untuk mengembalikan kegemilangan dan ketuanan Islam. Mereka perlu: · fikir tentang ummat lebih banyak dari fikir untuk diri sendiri. · faham dakwah yang betul
Dakwah kurun ke 15 Hijrah. · Hanya satu dakwah yang boleh menyelamat manusia - ISLAM (5:3) manusia sedang menunggu-nunggu. · Ianya perlukan pengorbanan (Rujuk Kisah-kisah Sirah Nabi dan Sahabat) · Fikrah Islam hendaklah tulen (tanpa seleweng , tambah atau kurang). (3:85) Musuh telah cuba merosakkan Islam beberapa lama.
Tugas kita sebagai pemuda: · Menceritakan hakikat Islam dengan jelas(teori). · Mengajak beramal dengan Islam yang syumul (amali). · Menjadikan Al-Quran & Sunnah rujukan utama. · Berjuang terus hingga mati. · Slogan kita : ‘Allah matlamat - Rasul Ikutan - Quran perlembagaan - Jihad jalan & Mati syahid cita-cita tertinggi’. · Berkeyakinan diri ; kita adalah 'tuan' di bumi ini. Kemenangan adalah milik kita.
Titik kekuatan: · Iman · Ukhuwwah · Zahir (Tubuh badan, senjata, peralatan, pengurusan dan sebagainya)
Program kita: · Individu Muslim · Rumahtangga Muslim · Ummat Islam · Kerajaan Islam · Watan Islam (Tanahair) · Menawan balik negeri Islam yang dirampas. · Menjadi pemerintah dunia.
Lain-lain · Disangka angan-angan oleh manusia. Siapa tidak bekerja ke arah ini maka sila cari cara lain. · Kita bukan lemah (3:173) · Kita tidak akan memisahkan agama dan negara, solat dan masyarakat dll. · Islam adalah sistem yang sempurna. · Mengapa orang sangat memperelokkan solat tetapi melalaikan bidang Islam yang lain? · Orang Islam ialah: Pendita di malam hari dan satria di siangnya. · Kita tidak mengabaikan negara dan bangsa kita tapi semua kerana Iman. · Kebangsaan kita adalah semua negara Islam. · Kita hendaklah maju dalam semua perkara kerana kemunduran akan merosakkan kita. · Hendaklah melepaskan dari sebarang fahaman lain selain Islam. · Hendaklah memperuntukkan seluruh tenaga dan masa untuk akidah ini. · Kita akan capai antara 2 kebaikan: Menang atau Syahid. · Siapa yang masih teragak-teragak dan berdolak dalih, tentera Allah akan terus berjalan meninggalkannya tanpa mengira sedikit atau ramai (3:126)
Ketika seluruh dunia mula digemparkan dengan virus H1N1 atau Influenza A, ketika itu juga aku diuji dengan demam, selsema dan batuk. Benar-benar seperti simptom H1N1 bukan? Kebetulan juga pada siangnya bagi mengisi hari minggu yang lapang, aku mengajak sahabat2 melawat zoo negara untuk kali pertama dalam hidup kami berempat. Semasa meninjau kepelbagaian jenis haiwan ciptaan Yang Maha Kuasa, tidak terlepas juga melalui kandang BABI dalam zoo tersebut. Sempat juga aku jenguk sihat ke tidak babi-babi itu dari jauh, sebelum sahabat2 mengajak untuk bergegas tinggalkan kawasan itu kerana takutkan babi-babi yang tidak bersalah itu.
Pada malamnya, aku mula didekati 'simptom2' itu. Mulalah seorang sahabat mengaitkan aku dengan babi-babi innocent di zoo tadi yang mungkin terbatuk2 kerana namanya disebut. Betulkah itu puncanya? Hari-hari berikutnya batuk ku semakin teruk lebih2 lagi bila berada di bawah penghawa dingin di pejabat. Awal-awal pagi hari kedua ke pejabat, aku mohon izin dari bos untuk ke klinik swasta berdekatan dan dapatkan MC untuk hari itu. Doktor yg memeriksa aku tidak ada bezanya dengan doktor2 di klinik UIA yang sering diperkatakan. Setelah aku disuruh tarik nafas 5-6 kali sambil dia memeriksa suhu badanku, tak sampai empat minit, sudah siap dan aku tunggu untuk dapatkan ubat batuk, demam, selsema, antibiotic dan penahan muntah. Tidak ada sepatah perkataan pun keluar dari mulutnya untuk menasihatiku atau menyatakan kondisi kesihatanku. Maka aku pun merasakan sakit aku tidak ada kaitan dengan babi dan H1N1. Mungkin ia sakit biasa yang sering ku alami saban tahun, sebab itu doktor tersebut tidak melayan aku seperti pesakit yang serius.
PENAPISAN KESIHATAN DALAM PENERBANGAN KE SARAWAK
Walaupun belum sembuh, seperti yg telah lama dirancang, sehari dua selepas itu aku terbang ke Kuching, Sarawak untuk ke rumah kakakku.
Kini pemeriksaan dijalankan ke atas semua penumpang di kesemua lapangan terbang terutama untuk pelepasan antarabangsa bagi mengesan pembawa virus H1N1 atau yang mempunyai simptomnya. Ini yang merisaukan aku bila tiba di airport..
Dalam penerbangan itu, aku masih terbatuk-batuk. Ramai juga penumpang di sekeliling aku memakai topeng penutup hidung dan mulut (macam perli aku ja depa ni...). Aku semacam rasa bersalah kepada mereka. Seketika kemudian, semua penumpang diarahkan mengisi borang akuan kesihatan yg disediakan oleh Kementerian Kesihatan. Antara yg perlu diisi adalah sama ada penumpang mempunyai simptom H1N1 seperti batuk kuat.
"Maaf Encik Lukman, awak disyaki ada simptom H1N1. Kami terpaksa kuarantin encik. Sila keluar dari kapal terbang ini".
Namun bukan itu yang berlaku, ia hanya khayalan aku ketika itu. Takkanlah aku nak dicampak keluar dari kapal terbang yang sedang tinggi melangit itu..hehe.
Borang tersebut hanya dikumpulkan kembali setelah kami mendarat di Kuching. Di airport tersebut, hampir semua staff memakai topeng penutup hidung dan mulut. Sekali lagi aku rasa tak sedap hati takut2 diperiksa.
Namun Alhamdulillah, aku selamat pergi dan balik tanpa masalah. Walaupun sampai hari ini masih batuk tapi sekurang2nya aku boleh bersyukur kerana aku tidak ada kaitan dengan babi mahu pun H1N1. Wal'iyazubillah…mohon perlindungan dari Allah. Tajuk di atas hanya provokasi semata2, tidak ada kaitan melainkan babi dengan H1N1 yang terbukti berkait rapat. Terima kasih kerana membaca..hahaa..
Seperti dalam kes saya tidak kemaskini blog, alasan biasa sudah pasti kerana "sibuk dengan kerja di pejabat" atau "tak cukup masa". Tapi menurut kata pakar-pakar motivasi, hanya orang yg sibuk yg punya masa! Ya, jika difikirkan betul-betul, memang benar pun. Apabila seseorang mempunyai senarai atau bebanan tugas yg banyak, dia pasti akan lebih menghargai masa lantas berusaha untuk menyusun tugas-tugas tersebut serta mengurus masanya dengan sebaik mungkin.
Mungkin ada di kalangan kita yang masih belia ini yang ke pejabat pada jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang, pada waktu maghrib perlu ke surau memenuhi jemputan untuk kuliah maghrib, jam 9.30 malam pula bergegas ke usrah mingguan sehingga tengah malam, pulang ke rumah sebelum tidur perlu study untuk tugasan keesokan harinya. Malah ada yang lebih sibuk dari itu. Apatah lagi yg sudah berumah tangga, berjawatan di apa-apa pertubuhan, organisasi penduduk, parti politik dan lain-lain, atau yg sambung belajar secara sambilan atau mempunyai komitmen dalam kesemua yang disebut. Ia pasti menuntut seseorang itu merancang masanya dengan teratur dan bersedia untuk berkorban, meninggalkan urusan yang tidak perlu, kurang penting atau kurang mustahak.
Sehinggakan, JIKA terbiasa dengan situasi sedemikian, suatu masa bila kita dikurnia waktu lapang tanpa sebarang kerja dan aktiviti, kita akan perasan ketika itu kita akan banyak membuang masa dengan perkara yang kurang bermanfaat, atau berasa bosan kerana tidak ada kerja untuk dibuat. Nah, saat itulah kita akan terfikir bahawa kita 'lebih mempunyai masa' ketika waktu sibuk dan kita sebenarnya 'buat-buat sibuk' ketika waktu tidak sibuk.
Pasti anda juga pernah belajar atau diajar cara meletakkan prioriti untuk tugasan harian. Mendahulukan yang lebih utama. Kemahiran seperti menyenaraikan things to do, kemudian menyusunnya mengikut prioriti dengan membahagikannya ke dalam kategori must do (mesti dibuat), should do (sepatutnya dibuat) dan might do (mungkin dibuat). Ya, pasti ramai yang tahu. Namun hakikatnya, mungkin tidak ramai yang mempraktikkannya dengan konsisten.
Benarlah mafhum sabda Rasulullah S.A.W bahawa dua nikmat yang kebanyakan manusia lalai padanya; kesihatan dan waktu lapang.
Sama ada kita sedar dan menghargainya atau tidak, Allah dan Rasul-Nya banyak mengingatkan manusia tentang kepentingan masa, sebagai salah satu dari nikmat Allah yang tak terhitung.
Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 33-34:
Maksudnya: "Dan Dia telah menundukkan bagi kamu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya) dan telah menundukkan bagimu malam dan siang. Dan Dia telah memberi kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu pohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya."
Kejayaan seseorang individu adalah bergantung kepada usahanya ke arah menyempurnakan segala tanggungjawab dalam pelajaran, kerjaya, dakwah, keluarga dan masyarakat. Seseorang individu mungkin sibuk dalam kehidupannya dengan berbagai-bagai tugas dan tanggungjawab. Walau bagaimanapun, dalam menyusun atau memprogramkan kehidupan, seseorang individu itu hendaklah menjaga keseimbangan aktiviti seperti mengambil perhatian terhadap pelajaran, kerjaya, menyempurnakan kerja-kerja dakwah dan jemaah, berinteraksi dengan masyarakat dan mewujudkan suasana yang solehah dalam rumah (keluarga).
Imam Hassan al-Banna pula menyebut, perkara terakhir dalam 10 wasiat beliau; "Wahai kawanku, Maksimumkanlah faedah waktu anda dan Tolonglah orang lain supaya manfaatkan masa. Hadkanlah masa penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan. Bijaksanakanlah menggunakan waktu anda! Bersegeralah, kerana... Sabda Nabi s. a. w bermaksud : "Bertindak segeralah melakukan amal..." (Diulang 7 kali..) Sayanglah masa saudaramu!!! Hormatilah waktu mereka!!! Usahlah berbicara meleret-leret...Tanpa haluan dan noktahnya..
Tulisan ni bukanlah bertujuan untuk menunjuk ajar tentang kemahiran mengurus masa dengan baik kerana anda punya alternatif yang lebih baik dan orang yang lebih layak untuk dirujuk tetapi ia hanya bertujuan mengingatkan diri sendiri dan sahabat-sahabat pembaca yang adakalanya (mungkin bukan selalu) lalai dalam pengurusan masa dalam kehidupan seharian. Semoga ia bermanfaat untuk saya dan mungkin untuk anda. Wallahua'lam..
Sudah ENAM BULAN blog ini tidak dikemaskinikan. Entry terakhir adalah November 2008 iaitu bulan terakhir saya bergelar pelajar di UIAM. Jadi selepas itu hingga sekarang tidak ada lagi peluang menggunakan internet percuma seperti kemudahan di ITD (Information and Technology Division) UIA. Sekarang kemudahan tersebut memang ada di pejabat, malah tersedia dari seawal waktu masuk bekerja hingga habis bekerja, tetapi tugasan di pejabat yg banyak perlulah diberi perhatian dan diutamakan. Lagipun, kurang sesuai atau ada yg mungkin menganggap 'tidak professional' untuk menggunakan kemudahan dan masa di pejabat untuk urusan yg terlalu peribadi seperti mengemaskini blog peribadi.
Manakala di hujung minggu, jikalau tidak ada program atau bukan giliran hari Sabtu bekerja, saya lebih suka mengisinya dengan aktiviti2 lain (berbanding pergi ke cyber café untuk mengemaskini blog) seperti mengajak atau menyertai kawan2 bermain futsal, bowling, jalan-jalan ke tempat rekreasi, membaca akhbar keluaran sehari atau dua hari lepas yg tidak sempat dibaca sepenuhnya, membaca buku-buku motivasi dan agama (kerana jemu membaca buku2 atau membelek agreement dan dokumen berkaitan undang-undang) yg ada di antaranya sudah lama dibeli tapi belum disentuh pun, menonton filem yg ada dalam komputer kwn2, keluar makan sambil berkongsi cerita dengan kawan2 atau menyiapkan tugasan pejabat yg perlu dibawa balik ke rumah.
Mungkin anda ada tabiat atau hobi yg lebih baik dan bermanfaat serta tugasan yg lebih ketat namun masih berkesempatan untuk mengemaskini blog anda, namun saya tidaklah sehebat anda maka perlu untuk mendahulukan yang lebih utama dalam kehidupan seharian saya.
Mungkin juga ada di kalangan anda yg boleh akses internet 24 jam di rumah, tetapi saya tidaklah semampu kalian untuk memiliki kemudahan sebegitu.
Apapun saya kagum dengan sahabat-sahabat yg senantiasa mengemaskini blog masing-masing dengan kupasan-kupasan isu semasa, berkongsi pengalaman hidup, tazkirah dan mengemukakan pendapat serta kritikan yg membina untuk sesuatu isu lokal mahu pun antarabangsa. Teruskan usaha baik anda..
Anak jati Padang Terap, Kedah. Pendidikan awal di Sek Keb Panglima Awang,SMA Raudhatul Ulum, SMA Al-Khairiah K.Nerang, Kedah dan berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sekarang berkhidmat di Khalek Awang & Associates, Setapak. Untuk sebarang komen sila emailkan pada: faaqirul_ilmiey@yahoo.com