Sunday, September 21, 2008

Ramadan bawa banyak kejayaan kepada ummah





DALAM menjalani ibadat puasa Ramadan, marilah kita merenung peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada bulan mulia ini. Ramadan yang dianugerahkan Allah dengan pelbagai keberkatan dan ganjaran ini, turut menyaksikan pelbagai peristiwa berlaku kepada diri dan keluarga Nabi Muhammad serta masyarakat Islam untuk dijadikan iktibar.


DALAM menjalani ibadat puasa Ramadan, marilah kita merenung peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada bulan mulia ini.Ramadan yang dianugerahkan Allah dengan pelbagai keberkatan dan ganjaran ini, turut menyaksikan pelbagai peristiwa berlaku kepada diri dan keluarga Nabi Muhammad serta masyarakat Islam untuk dijadikan iktibar.Peristiwa itu membawa pengertian besar kepada umat Islam, terutama membabitkan peperangan yang membuktikan betapa teguhnya keimanan umat Islam terdahulu dalam menegakkan agama suci ini.Ia membawa pengajaran besar bahawa dalam melaksanakan ibadat puasa, umat Islam perlu tabah mengharungi apa saja cabaran.


Puasa bukan bulan untuk berehat-rehat, bersenang-senang atau lalai melaksanakan kewajipan sebagai umat Islam. Umat Islam diingatkan sentiasa berwaspada menghadapi ancaman musuh.

Selain itu, Ramadan menyaksikan peristiwa duka kepada Rasulullah. Dalam menghadapi peristiwa itu, Baginda tabah sehingga tidak menjejaskan ibadat puasa.


Antara peristiwa berlaku pada Ramadan ialah ‘Ammul Hazan’ atau ‘tahun kedukaan’ iaitu pada Ramadan tahun ke-10 daripada kerasulan Nabi Muhammad.Bulan mulia itu menyaksikan kewafatan bapa saudara Baginda, Abu Talib, dan Ummul Mukminin Khadijah Khualid.


Pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah pula, untuk kali pertama, berlaku peperangan Badar al-Kubra antara kaum Muslimin dengan Musyrikin.Mengikut keterangan Ibn Hisyam, Rasulullah bersama pejuang Islam berangkat dari Madinah menuju ke Badar pada 8 Ramadan dan pada 17 Ramadan berlaku peperangan Badar al-Kubra. Perang itu menjadi titik awal kebangkitan kaum Muslimin ke atas kekuatan Musyrikin dan kesesatannya.


Pada tahun kedua Ramadan itu juga diwajibkan zakat fitrah.

Bulan Ramadan pada tahun kelima Hijrah pula adalah bulan persediaan tentera Muslimin menghadapi peperangan Khandak, salah satu peperangan terbesar pada zaman Rasulullah.Ia berlaku pada Syawal berikutnya dengan kemenangan tentera Muslimin.


Peristiwa meruntuhkan berhala Musyrikin terbesar dan termasyhur di sekitar kota Makkah oleh angkatan Islam turut berlaku pada Ramadan tahun ketujuh Hijrah.Pasukan tentera pimpinan Khalid ibni Walid menghancurkan patung ‘Uzza, Umar ibnu ‘Asy pula meruntuhkan patung Siswa' dan pasukan Saad ibni Zaid al-Asyahily memusnahkan patung Mana.


Pada 21 Ramadan tahun kelapan Hijrah, Allah memberikan nikmat kepada rasul-Nya dan kaum Muslimin dengan kejayaan menakluki kota Makkah.


Nabi Muhammad menghantar Ali Abi Talib dan angkatan kaum Muslimin ke negeri Yaman pada Ramadan tahun ke-10 Hijrah dan membawa bersama surat Baginda kepada penduduk di situ.Dalam satu hari saja, penduduk Yaman khususnya kabilah Hamdan memeluk Islam dan bersembahyang jemaah dengan Ali.Siti Fatimah, puteri Baginda yang juga isteri kepada Saidina Ali Abi Talib dan ibu kepada Hassan dan Hussain, wafat pada Ramadan tahun ke-11 Hijrah.


Ramadan tahun ke-11 Hijrah turut menyaksikan orang Musyrikin yang tewas dalam peperangan Badar membuat persiapan untuk menuntut kembali kekalahan mereka. Beberapa kabilah mereka bersatu pada bulan itu dan pada 7 Syawal berikutnya, tercetus peperangan Uhud.


Pada Ramadan yang sama, utusan kerajaan Hummir menemui Nabi Muhammad dan memaklumkan mengenai keislaman kerajaan itu. Baginda menyambutnya dengan penuh hormat.Rasulullah menyerahkan kepada satu catatan dan garis panduan mengenai hukum, hak dan kewajipan serta dasar daripada sejarah kemajuan dan perkembangan Islam kepada utusan itu.


Satu lagi peperangan berlaku pada Ramadan tahun ke-15 Hijrah. Dalam peperangan Qadisiah itu, orang Islam mendapat kemenangan daripada kerajaan Parsi.Kejayaan itu memberi erti cukup besar dan membolehkan bendera kedaulatan Islam berkibar di Parsi.


Pada 584 Hijrah, Salahuddin Al-Ayyubi mengalahkan tentera Salib dan membebaskan sebahagian besar negeri yang pernah dikuasai oleh pihak Salib (Kristian). Ketika tiba Ramadan, penasihat Salahuddin menyarankan beliau berehat kerana bimbang ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab: "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam.” Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan Ramadan.


Pada 658 Hijrah, Kerajaan Mamalik mengalahkan dan menyekat kemaraan tentera Tartar Mongol di 'Ain Jalut. Peperangan ini berikutan jatuhnya Daulah Abbasiyyah, kota Baghdad yang ketika itu menjadi pusat perkembangan ilmu oleh tentera Tartar. Buku perpustakaan di Baghdad ditenggelamkan di Sungai Tigris untuk dijadikan jambatan. Dalam sejarah digambarkan betapa air Sungai Tigris ketika itu berwarna kehitam-hitaman kerana terlalu banyak dakwat larut. Demikianlah berakhirnya sebuah peradaban moden Islam di Baghdad. Umat Islam tidak berdiam diri membiarkan orang kafir merobekkan kemuliaan Islam. Penguasa Mesir ketika itu Saifuddin Quths menggerakkan pasukan Islam menuju ke Syam untuk menghalang tentera Mongol. Dua pasukan itu akhirnya bertemu di tempat bernama 'Ain Jalut (di Palestin). Sejarah mencatatkan pasukan Tartar ditumpaskan kaum Muslim di 'Ain Jalut.


Peristiwa lain yang dicatatkan oleh sejarah pada Ramadan ialah:
Tentera Islam pimpinan Umar ibnu Asy menyerang balas serangan tentera Mesir yang menyerang tentera Islam ketika bersembahyang Jumaat pada Ramadan tahun ke-19 Hijrah dan menang.


Khalifah keempat Khulafur-Rasyidin, Ali Abi Talib, ditikam curi ketika keluar dari rumahnya untuk berjamaah solat Subuh pada 15 Ramadan tahun ke-40 Hijrah dan wafat dua hari kemudian.


Tentera Islam mendarat di pantai selatan Andalus dan ditentang pengawal benteng pada Ramadan tahun ke-91 Hijrah. Setahun kemudian, Tariq bin Ziad mengetuai tentera Islam mengalahkan pasukan Raja Roderick.


Dipetik dari ramadan.emedia.com.my

No comments: