Saturday, May 30, 2009

SIBUK ATAU BUAT-BUAT SIBUK?!

Seperti dalam kes saya tidak kemaskini blog, alasan biasa sudah pasti kerana "sibuk dengan kerja di pejabat" atau "tak cukup masa". Tapi menurut kata pakar-pakar motivasi, hanya orang yg sibuk yg punya masa! Ya, jika difikirkan betul-betul, memang benar pun. Apabila seseorang mempunyai senarai atau bebanan tugas yg banyak, dia pasti akan lebih menghargai masa lantas berusaha untuk menyusun tugas-tugas tersebut serta mengurus masanya dengan sebaik mungkin.


Mungkin ada di kalangan kita yang masih belia ini yang ke pejabat pada jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang, pada waktu maghrib perlu ke surau memenuhi jemputan untuk kuliah maghrib, jam 9.30 malam pula bergegas ke usrah mingguan sehingga tengah malam, pulang ke rumah sebelum tidur perlu study untuk tugasan keesokan harinya. Malah ada yang lebih sibuk dari itu. Apatah lagi yg sudah berumah tangga, berjawatan di apa-apa pertubuhan, organisasi penduduk, parti politik dan lain-lain, atau yg sambung belajar secara sambilan atau mempunyai komitmen dalam kesemua yang disebut. Ia pasti menuntut seseorang itu merancang masanya dengan teratur dan bersedia untuk berkorban, meninggalkan urusan yang tidak perlu, kurang penting atau kurang mustahak.

Sehinggakan, JIKA terbiasa dengan situasi sedemikian, suatu masa bila kita dikurnia waktu lapang tanpa sebarang kerja dan aktiviti, kita akan perasan ketika itu kita akan banyak membuang masa dengan perkara yang kurang bermanfaat, atau berasa bosan kerana tidak ada kerja untuk dibuat. Nah, saat itulah kita akan terfikir bahawa kita 'lebih mempunyai masa' ketika waktu sibuk dan kita sebenarnya 'buat-buat sibuk' ketika waktu tidak sibuk.

Pasti anda juga pernah belajar atau diajar cara meletakkan prioriti untuk tugasan harian. Mendahulukan yang lebih utama. Kemahiran seperti menyenaraikan things to do, kemudian menyusunnya mengikut prioriti dengan membahagikannya ke dalam kategori must do (mesti dibuat), should do (sepatutnya dibuat) dan might do (mungkin dibuat). Ya, pasti ramai yang tahu. Namun hakikatnya, mungkin tidak ramai yang mempraktikkannya dengan konsisten.

Benarlah mafhum sabda Rasulullah S.A.W bahawa dua nikmat yang kebanyakan manusia lalai padanya; kesihatan dan waktu lapang.

Sama ada kita sedar dan menghargainya atau tidak, Allah dan Rasul-Nya banyak mengingatkan manusia tentang kepentingan masa, sebagai salah satu dari nikmat Allah yang tak terhitung.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 33-34:

Maksudnya: "Dan Dia telah menundukkan bagi kamu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya) dan telah menundukkan bagimu malam dan siang. Dan Dia telah memberi kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu pohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya."

Kejayaan seseorang individu adalah bergantung kepada usahanya ke arah menyempurnakan segala tanggungjawab dalam pelajaran, kerjaya, dakwah, keluarga dan masyarakat. Seseorang individu mungkin sibuk dalam kehidupannya dengan berbagai-bagai tugas dan tanggungjawab. Walau bagaimanapun, dalam menyusun atau memprogramkan kehidupan, seseorang individu itu hendaklah menjaga keseimbangan aktiviti seperti mengambil perhatian terhadap pelajaran, kerjaya, menyempurnakan kerja-kerja dakwah dan jemaah, berinteraksi dengan masyarakat dan mewujudkan suasana yang solehah dalam rumah (keluarga).

Imam Hassan al-Banna pula menyebut, perkara terakhir dalam 10 wasiat beliau;
"Wahai kawanku, Maksimumkanlah faedah waktu anda dan Tolonglah orang lain supaya manfaatkan masa. Hadkanlah masa penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan. Bijaksanakanlah menggunakan waktu anda! Bersegeralah, kerana... Sabda Nabi s. a. w bermaksud : "Bertindak segeralah melakukan amal..." (Diulang 7 kali..) Sayanglah masa saudaramu!!! Hormatilah waktu mereka!!! Usahlah berbicara meleret-leret...Tanpa haluan dan noktahnya..

Tulisan ni bukanlah bertujuan untuk menunjuk ajar tentang kemahiran mengurus masa dengan baik kerana anda punya alternatif yang lebih baik dan orang yang lebih layak untuk dirujuk tetapi ia hanya bertujuan mengingatkan diri sendiri dan sahabat-sahabat pembaca yang adakalanya (mungkin bukan selalu) lalai dalam pengurusan masa dalam kehidupan seharian. Semoga ia bermanfaat untuk saya dan mungkin untuk anda. Wallahua'lam..

No comments: