Monday, August 4, 2008

KEMERDEKAAN : KEMBALIKAN SEMANGAT DEKLARASI PERMATANG PAUH

(.. MERDEKAKAH?! MERDEKAKAH?!!..)


31 Ogos yang bakal menjelang beberapa hari lagi. Ia membawa signifikasi besar dalam perjuangan membebaskan rakyat Malaysia dari penjajahan dan penindasan. Kita bakal meraikan 51 tahun kemerdekaan negara kita. Tetapi sudah bolehkah kita berbangga dengan 'kemerdekaan' yang dinikmati oleh seluruh masyarakat Malaysia pada hari ini. Sejauh manakah ruang kemerdekaan dari panjajahan dimanfaatkan untuk menuntut dan merealisasikan maksud 'kemerdekaan' yang menyeluruh.


Hakikatnya, menjelang 51 tahun kemerdekaan Malaysia, setiap warga negaranya akan menyambut ulang tahun ini dengan peningkatan kos hidup yang tinggi. Kita sedang menanggung beban kenaikan harga minyak yang telah membawa kepada kenaikan harga barang-barang asas lain. Tidak berakhir di situ, kenaikan harga tiket bas pula bakal menyusul musim Aidilfitri nanti. Siapa mangsa kepada semua ini? Pasti yang teruk menanggungnya adalah rakyat kebanyakan. Mungkin tidak bagi tauke-tauke besar, bangsawan-bangsawan dan mereka yang yang punya ‘kelas’ masing-masing. Yang punya kereta-kereta mewah, rumah-rumah dan kilang-kilang besar. Apatah lagi yang hanya duduk menggoyang kaki menunggu wang suapan beribu-ribu malah berjuta-juta ringgit.




Ayuh kita menoleh sejenak dan menghayati falsafah dan makna kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar. Kemerdekaan bagi sebahagian ahli politik bermakna bebas dari penjajahan dan bebas dari segala bentuk penindasan dan eksploitasi. Kemerdekaan juga membawa erti jaminan keadilan dalam bentuk pengagihan ekonomi dan penegakan hukum.



Namun erti kemerdekaan bagi seorang muslim pasti lebih komprehensif. Marilah kita menghayati dan sama-sama memperjuangkan erti kemerdekaan yang bertunjangkan tauhid kepada Sang Pencipta, yang mampu membawa kesejahteraan kepada sekalian manusia.





ERTI KEMERDEKAAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM.



Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam terkandung di dalam kata-kata Rub'ie bin A'mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:





Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.Rub'ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.



Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah saw berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi?



Ini bermakna: kemerdekaan yang sebenar ialah:



Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada:




  1. Bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya.

  2. Kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum allah swt bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.


Memerdekakan manusia daripada ikatan agama yang direka oleh manusia samada:



1. Agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan.



2. Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang dibenarkan oleh Syariat.



Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui:



1. Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan.



2. Menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang sebenar.



Justeru itu: Kemerdekaan yang sebenar ialah :



Membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia.



Membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan islam.



( Memetik tulisan Ustaz Zaharudin Mohamad)




Semangat kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar ini pasti dapat dicapai sekiranya seluruh pencinta keadilan serta politikus kembali membawa semangat reformasi dalam pelbagai aspek yang diterjemahkan dalam Deklarasi Permatang Pauh seketika dulu. Terutama mereka yang terlibat dalam merangka deklarasi ini, yang kini MUNGKIN sudah tersasar dengan kepentingan politik peribadi, wang, kuasa dan sebagainya. Tidak terkecuali juga mereka yang mungkin sudah mengangkat tangan mengaku kalah atau berputus asa. Sesungguhnya deklarasi ini memperlihatkan sedikit refleksi kepada Piagam Madinah yang dibuat oleh baginda Rasulullah s.a.w.





DEKLARASI PERMATANG PAUH



Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud “ tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami ” ;

Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat; Dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat dan memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula; Maka kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekat untuk melancarkan gerakan reformasi yang menyeluruh:

Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani,dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram di belenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;

Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;

Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi. Demokrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;

Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi,menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu;

Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan mahakaya;

Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;

Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.

Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.

Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi.

Permatang Pauh
12 September 1998