Friday, October 29, 2010

SEKEJAP ADA SEKEJAP TIDAK


Hmmm…sudah lebih setahun aku tak menulis di blog ini. Post terakhir pada Julai 2009. Dari saat itu hingga sekarang terlalu banyak peristiwa penting berlaku sama ada melibatkan aku atau orang lain, lokal atau global, semuanya berlalu tanpa sempat aku coretkan berserta komen di sini.

Hari ini ku rasakan perlu juga aku mula menulis sesuatu untuk manfaat diri sendiri dan pembaca sekiranya ada. Tapi pada saat aku ingin meneruskan hasrat menulis semula, aku terfikir kenapa aku menulis blog? Secara umumnya seseorang menulis di blog/ website untuk beberapa atau salah satu dari tujuan berikut:


1. SUKA-SUKA


Seseorang menulis kerana suka-suka tanpa matlamat khusus dan tiada mana-mana golongan pembaca yang disasarkan. Atau seperti aku ketika mula mewujudkan blog bila ianya mula menjadi trend mahasiswa. Sekalipun diberikan motivasi untuk menulis blog demi memantap cara berfikir dan berdakwah serta membina karekter kepimpinan, namun hingga kini ternyata aku tidak berjaya realisasikan lagi. Blogger yang tiada halatuju yang jelas dan ketekunan selalunya menyebabkan blognya dormant begitu sahaja. Hmm..diri sendiri pun lebih kurang agaknya.


2. LUAHAN PERASAAN


Ada juga blogger yang cenderung untuk meluahkan perasaan puas hati atau tidak puas hatinya terhadap sesuatu tanpa mempedulikan persepsi dan penerimaan pembaca terhadap luahan beremosinya. Tidak penting dan bukan niatnya untuk membentuk persepsi tertentu di kalangan pembaca. Apa yang lebih penting, perasaan yang dipendam diterjemahkan ke dalam tulisan. Tapi sekali-sekala mungkin dirinya akan gembira sekiranya ada yang bersimpati atau bersetuju dengannya atau memberi komentar yang memihak kepada blogger tersebut. Tujuan ini berkemungkinan boleh memberi manfaat kepada diri blogger sahaja tanpa meninggalkan impak positif kepada pembaca.


3. HOBI DAN MENJANA PENDAPATAN


Ada juga yang ingin berkongsi hobi dengan pembaca. Sebagai contoh berkongsi hasil tangkapan terbaik dari lensa kamera mahalnya atau hasil kerja dari lab. Mungkin juga yang mewujudkan blog/ website untuk berkomunikasi dengan rakan peminat pasukan bola sepak kesukaannya. Selain itu, makin banyak juga yang membuat duit melalui internet dengan pelbagai jenis dan tarikan bisnes. Ini sudah tentu memberikan kepuasan, habuan dan manfaat kepada blogger dan pembaca yang berkongsi minat dengannya atau pelanggan yang berminat dengan bisnesnya. Namun adakah pakar atau perunding motivasi juga boleh dikategorikan di sini? Saya percaya mereka tidak mengutamakan pendapatan semata-mata tetapi mempunyai tujuan seperti di bawahJ


4. BERKONGSI ILMU PENGETAHUAN DAN MEMANTAP KEFAHAMAN DIRI


Mereka adalah segolongan yang tidak dikenali ramai, orang kebanyakan dan hanya menulis dalam ruang lingkup bidang atau kemahiran masing-masing. Mereka tetap bertujuan memberi manfaat kepada orang lain di samping meningkatkan kefahaman diri sendiri dalam sesuatu perkara. Kemungkinan besar jika mereka mempunyai kekuatan ilmu yang diiktiraf, pemikiran kritis, mampu mengemukakan solusi dan alternatif kepada sesuatu dan kesedaran serta kemahiran berdakwah maka mereka pasti boleh menempatkan diri dalam kategori ke-5 di bawah.


5. KOMENTARI, DAKWAH DAN MOTIVASI


Yang terakhir adalah mereka yang mengetengahkan konsep komentari terhadap sesuatu isu dan peristiwa serta menjawab persoalan yang timbul atau sengaja ditimbulkan untuk perbincangan. Ia bersifat ‘menjelaskan’ dan disokong dengan fakta-fakta dan autoriti yang berkaitan. Ahli-ahli politik, pemimpin dan aktivis pelbagai ideologi antara yang menggunakan kaedah ini untuk berkomunikasi dan menyatakan pendiriannya kepada masyarakat. Sekali-sekala aku lawati tulisan mereka ini seperti http://chedet.co.cc/chedetblog/, http://blog.drdzul.com/, http://penarikbeca.blogspot.com/ dan lain-lain.

Malah blogger dari kategori ini yang (kebanyakannya) bukan ahli politik menjadikan ia sebagai platform untuk berdakwah dan memotivasikan orang lain. Sudah pasti majoriti mereka ini terdiri dari kalangan yang berlatarbelakangkan pendidikan/ kelulusan agama, mereka yang diistilahkan sebagai ‘Protaz’ (Professional Ustaz) dan pakar atau perunding motivasi. Antara yang kerap aku lawati adalah http://zaharuddin.net/, http://saifulislam.com/ dan lain-lain. Ternyata penulisan dan komentari kesemua golongan dalam kategori ini menjadi rujukan ramai, membina kredibiliti diri mereka serta membentuk persepsi yang diharapkan di kalangan pembaca.

Justeru, apa tujuan aku menulis blog ini? Apa matlamat yang jelas bagi aku? Tema tersendiri? Sasaran pembaca khusus?

Dulu aku (mungkin) bermula dengan No.1 di atas. Dari dulu aku tidak berminat dengan No.2 dan aku tidak pula mempunyai hobi menarik atau kemahiran bisnes seperti No.3 di atas. Tetapi kini aku ingin sekurang-kurangnya melaksanakan No.4 (tetapi) dengan mengambil sedikit sebanyak teladan/ semangat dari golongan dalam No.5.

Bagaimana jika aku mengambil tema “Aku, Undang-Undang dan Masyarakat” dengan tujuan khusus seperti berikut:


1. Mengambil pengajaran dan memotivasikan diri dari pengalaman dan peristiwa yang berlaku kepada diriku atau sekelilingku termasuk menjiwai kerjaya guaman melalui pengalaman diri dan orang lain;

2. Meningkatkan kefahaman diri sendiri dalam bidang undang-undang sivil dan syariah dan isu-isu semasa yang bersangkut-paut dengannya sama ada dalam aspek sosial, politik, pendidikan mahu pun ekonomi;

3. Memahami realiti hidup masyarakat masa kini dan menyelami dan melibatkan diri dalam dunia aktivisma kemasyarakatan dalam usaha ke arah membina masa depan diri dan masyarakat yang lebih baik; dan

4. Melalui ketiga-tiga di atas diharap sedikit sebanyak secara tidak langsung aku boleh berkongsi sesuatu yang bemanfaat untuk orang lain sekurang-kurang menyampaikan kata-kata yang baik-baik.


Aku mulakan dengan Bismillah........