Friday, October 29, 2010

SEKEJAP ADA SEKEJAP TIDAK


Hmmm…sudah lebih setahun aku tak menulis di blog ini. Post terakhir pada Julai 2009. Dari saat itu hingga sekarang terlalu banyak peristiwa penting berlaku sama ada melibatkan aku atau orang lain, lokal atau global, semuanya berlalu tanpa sempat aku coretkan berserta komen di sini.

Hari ini ku rasakan perlu juga aku mula menulis sesuatu untuk manfaat diri sendiri dan pembaca sekiranya ada. Tapi pada saat aku ingin meneruskan hasrat menulis semula, aku terfikir kenapa aku menulis blog? Secara umumnya seseorang menulis di blog/ website untuk beberapa atau salah satu dari tujuan berikut:


1. SUKA-SUKA


Seseorang menulis kerana suka-suka tanpa matlamat khusus dan tiada mana-mana golongan pembaca yang disasarkan. Atau seperti aku ketika mula mewujudkan blog bila ianya mula menjadi trend mahasiswa. Sekalipun diberikan motivasi untuk menulis blog demi memantap cara berfikir dan berdakwah serta membina karekter kepimpinan, namun hingga kini ternyata aku tidak berjaya realisasikan lagi. Blogger yang tiada halatuju yang jelas dan ketekunan selalunya menyebabkan blognya dormant begitu sahaja. Hmm..diri sendiri pun lebih kurang agaknya.


2. LUAHAN PERASAAN


Ada juga blogger yang cenderung untuk meluahkan perasaan puas hati atau tidak puas hatinya terhadap sesuatu tanpa mempedulikan persepsi dan penerimaan pembaca terhadap luahan beremosinya. Tidak penting dan bukan niatnya untuk membentuk persepsi tertentu di kalangan pembaca. Apa yang lebih penting, perasaan yang dipendam diterjemahkan ke dalam tulisan. Tapi sekali-sekala mungkin dirinya akan gembira sekiranya ada yang bersimpati atau bersetuju dengannya atau memberi komentar yang memihak kepada blogger tersebut. Tujuan ini berkemungkinan boleh memberi manfaat kepada diri blogger sahaja tanpa meninggalkan impak positif kepada pembaca.


3. HOBI DAN MENJANA PENDAPATAN


Ada juga yang ingin berkongsi hobi dengan pembaca. Sebagai contoh berkongsi hasil tangkapan terbaik dari lensa kamera mahalnya atau hasil kerja dari lab. Mungkin juga yang mewujudkan blog/ website untuk berkomunikasi dengan rakan peminat pasukan bola sepak kesukaannya. Selain itu, makin banyak juga yang membuat duit melalui internet dengan pelbagai jenis dan tarikan bisnes. Ini sudah tentu memberikan kepuasan, habuan dan manfaat kepada blogger dan pembaca yang berkongsi minat dengannya atau pelanggan yang berminat dengan bisnesnya. Namun adakah pakar atau perunding motivasi juga boleh dikategorikan di sini? Saya percaya mereka tidak mengutamakan pendapatan semata-mata tetapi mempunyai tujuan seperti di bawahJ


4. BERKONGSI ILMU PENGETAHUAN DAN MEMANTAP KEFAHAMAN DIRI


Mereka adalah segolongan yang tidak dikenali ramai, orang kebanyakan dan hanya menulis dalam ruang lingkup bidang atau kemahiran masing-masing. Mereka tetap bertujuan memberi manfaat kepada orang lain di samping meningkatkan kefahaman diri sendiri dalam sesuatu perkara. Kemungkinan besar jika mereka mempunyai kekuatan ilmu yang diiktiraf, pemikiran kritis, mampu mengemukakan solusi dan alternatif kepada sesuatu dan kesedaran serta kemahiran berdakwah maka mereka pasti boleh menempatkan diri dalam kategori ke-5 di bawah.


5. KOMENTARI, DAKWAH DAN MOTIVASI


Yang terakhir adalah mereka yang mengetengahkan konsep komentari terhadap sesuatu isu dan peristiwa serta menjawab persoalan yang timbul atau sengaja ditimbulkan untuk perbincangan. Ia bersifat ‘menjelaskan’ dan disokong dengan fakta-fakta dan autoriti yang berkaitan. Ahli-ahli politik, pemimpin dan aktivis pelbagai ideologi antara yang menggunakan kaedah ini untuk berkomunikasi dan menyatakan pendiriannya kepada masyarakat. Sekali-sekala aku lawati tulisan mereka ini seperti http://chedet.co.cc/chedetblog/, http://blog.drdzul.com/, http://penarikbeca.blogspot.com/ dan lain-lain.

Malah blogger dari kategori ini yang (kebanyakannya) bukan ahli politik menjadikan ia sebagai platform untuk berdakwah dan memotivasikan orang lain. Sudah pasti majoriti mereka ini terdiri dari kalangan yang berlatarbelakangkan pendidikan/ kelulusan agama, mereka yang diistilahkan sebagai ‘Protaz’ (Professional Ustaz) dan pakar atau perunding motivasi. Antara yang kerap aku lawati adalah http://zaharuddin.net/, http://saifulislam.com/ dan lain-lain. Ternyata penulisan dan komentari kesemua golongan dalam kategori ini menjadi rujukan ramai, membina kredibiliti diri mereka serta membentuk persepsi yang diharapkan di kalangan pembaca.

Justeru, apa tujuan aku menulis blog ini? Apa matlamat yang jelas bagi aku? Tema tersendiri? Sasaran pembaca khusus?

Dulu aku (mungkin) bermula dengan No.1 di atas. Dari dulu aku tidak berminat dengan No.2 dan aku tidak pula mempunyai hobi menarik atau kemahiran bisnes seperti No.3 di atas. Tetapi kini aku ingin sekurang-kurangnya melaksanakan No.4 (tetapi) dengan mengambil sedikit sebanyak teladan/ semangat dari golongan dalam No.5.

Bagaimana jika aku mengambil tema “Aku, Undang-Undang dan Masyarakat” dengan tujuan khusus seperti berikut:


1. Mengambil pengajaran dan memotivasikan diri dari pengalaman dan peristiwa yang berlaku kepada diriku atau sekelilingku termasuk menjiwai kerjaya guaman melalui pengalaman diri dan orang lain;

2. Meningkatkan kefahaman diri sendiri dalam bidang undang-undang sivil dan syariah dan isu-isu semasa yang bersangkut-paut dengannya sama ada dalam aspek sosial, politik, pendidikan mahu pun ekonomi;

3. Memahami realiti hidup masyarakat masa kini dan menyelami dan melibatkan diri dalam dunia aktivisma kemasyarakatan dalam usaha ke arah membina masa depan diri dan masyarakat yang lebih baik; dan

4. Melalui ketiga-tiga di atas diharap sedikit sebanyak secara tidak langsung aku boleh berkongsi sesuatu yang bemanfaat untuk orang lain sekurang-kurang menyampaikan kata-kata yang baik-baik.


Aku mulakan dengan Bismillah........

Tuesday, July 28, 2009


ISTIRJA’ BUAT NENEKKU

“Daripada Allah kita datang, kepadaNya kita kembali”

Surah Ali 'Imran: 185;

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan baru pada hari kiamatlah

disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke

dalam surga, maka sungguh ia beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah

kesenangan yang memperdayakan."


Setelah beberapa tahun menanggung sakit tibi, batuk kering dan beberapa penyakit kebiasaan orang tua, dan setelah sekian lama berulang alik ke hospital menerima ubat dan ditambah air ke dalam badan, nenekku Hajjah Mek Aa binti Hussein dijemput ‘Izrail kembali ke Rahmatullah. Lebih kurang pada jam 2.20 pagi tanggal 20 Julai lepas.

Usianya di awal 70-an. Penglihatan, pendengaran dan ingatannya masih baik. Tetapi badannya bagai tinggal tulang yang ditutup dengan kulit. Dalam masa seminggu terakhir, kaki dan tangannya membengkak tetapi tidak sakit. Telahan aku ia kerana edaran air atau darah dalam badan yang bermasalah.

Ternyata, Allah lebih sayangkannya dan mendahulukannya daripada kita. Malah Allah kurniakan kepadanya Husnul Khaatimah pada saat kematiannya. Wajah arwah jernih, putih berseri bagaikan ingin bercakap dengan tetamu yang datang menziarahinya. Sejurus sebelum Malaikat maut menjemputnya, adikku menyaksikannya tiba-tiba mengangkat takbiratul ihram dalam keadaannya terlantar sebelum pergi selamanya. Pengurusan jenazah dari mandi jenazah sehinggalah ke bacaan talkin hampir keseluruhannya dibuat sendiri oleh anak-anak dan cucu-cucunya yang ramai. Hanya dua atau tiga orang cucu sahaja tidak berkesempatan mengucup jenazah buat kali terakhir. Jenazah arwah disembahyangkan oleh tidak kurang 500 orang jemaah. Doa orang-orang soleh itu mengiringinya ke alam kubur.

Semua yang mengenalinya, baik tua atau muda, akan menjadi saksi kemuliaan akhlak dan budinya ketika hidup. Tidak mampu untukku coretkan kisahnya walaupun banyak yang boleh dikongsi, termasuk pengalaman manis menemaninya semasa hidup. Yang pasti arwah sangat rajin berzikir dan membaca Al-Quran. Di tangannya atau dekat tempat tidurnya sentiasa ada tasbih dan buku zikir harian. Layak baginya Husnul Khaatimah. Moga syurga Allah menjadi rumahnya yang terakhir, menjadi jiran orang-orang soleh di sana. Marilah kita doakan moga Allah ampunkan dosanya, kasihinya, maafinya, luaskan kuburnya, muliakannya, bersihkannya dari dosa , dimasukkan ke syurga, dijauhkan dari seksa kubur dan azab api neraka. Amin ya Rabbal ‘Alamiin.

Kita yang masih hidup ini bagaimana? Ya Allah, layakkah kami mendapat Husnul Khaatimah darimu, dari saat malaikatMu mencabut nyawa sehinggalah tempat menghuni di akhirat kelak? Bagaimana sudahnya? (jika) Lidah kami sibuk membicarakan hal duniawi, jari jemari kami pantas memicit kekunci handphone dan komputer, jarang sekali berzikir kepadaMu dan membaca serta membelek kitabMu. Tangan-tangan kami bekerja kuat mencari habuan dunia, tetapi sedikit sekali diinfakkan ke jalanMu. Kaki-kaki kami tangkas bersukan, lekas bergegas ke tempat kerja tetapi jarang sekali melangkah ke rumahMu..ya Allah, layakkah kami..?

Ya Allah, moga-moga dengan mengingati mati ini kami lebih bertaqwa kepadaMu dan lebih mengingatiMu, lebih menghargai segala nikmat kurniaanMu serta mengasihi antara satu sama lain.

Saturday, June 20, 2009

“SUMBANGAN DAN BAKTI DITAGIH”

Khusus Buat Alumni SMA Al-Khairiah, Kuala Nerang, Kedah.

Sempena Majlis Ihtifal SMA Al-Khairiah 2009


Saya juga rasa terpanggil untuk mempromosikan Majlis Ihtifal SMA Al-Khariah yang akan diadakan pada tanggal 24-25 Jun ini. Satu sambutan ’mega’ untuk diraikan bersama oleh seluruh warga Al-Khairiah, alumni, sekolah-sekolah jemputan serta masyarakat sekeliling. Program tahunan dalam taqwim Al-Khairiah ini juga antara pendekatan yang diambil untuk mempromosikan pendidikan berteraskan Islam yang memperjuangkan kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. Pengisian yang sudah menjadi tradisi dari tahun ke tahun sudah pasti sukaneka antara guru dan pelajar, pameran, demonstrasi, pertandingan muhadharah, malam kesenian Islam serta dua acara penting iaitu Majlis Anugerah Kecemerlangan SMUK dan Forum Agama.


Menjelang sambutan tersebut, pihak sekolah sedang bertungkus-lumus untuk menyiapkan projek menambahluaskan surau SMUK untuk menampung lebih ramai pelajar-pelajarnya. Saya difahamkan oleh Penolong Kanan HEM SMUK bahawa struktur asal surau tersebut adalah hasil sumbangan Kerajaan Negeri pada tahun 2007 melalui satu projek bernilai RM100,000 tetapi hanya mampu menampung lebih 3 saf penuh lelaki dan 3 saf penuh perempuan atau keseluruhan jemaah lebih kurang 70-90 orang sahaja. Sangat tidak berbaloi. Ke mana dan bagaimana jumlah besar tersebut dibelanjakan boleh dipersoalkan. Apakah ada yang sanggup menelan ribuan RM secara haram dengan mengetepikan kepentingan dan kebajikan pelajar-pelajar sekolah agama ini. Peliknya, penambahan yang dibuat oleh pihak sekolah hampir TIGA (3) kali ganda panjang dari struktur asal itu, walaupun belum siap sepenuhnya, tetapi dianggarkan akan memerlukan belanja kurang dari RM100,000. Ruang yang lebih luas dengan harga yang lebih murah. Jimat dan tiada ketirisan wang berlaku.





Menurut Saudari Napisah Karimah Hj Ismail, Bendahari Persatuan Bekas Pelajar SMA Al-Khairiah, projek tersebut memerlukan jumlah keseluruhan RM90,000.00. Di samping itu, pihak sekolah juga sedang menambahbaik ruang tingkat bawah di bangunan 3 tingkat yang telah hampir 7 tahun terbengkalai dek kerana ketiadaan sumber kewangan. Tingkat bawah tersebut akan dijadikan asrama putera yang baru untuk menggantikan asrama sedia ada yang sangat uzur.

Justeru, dipendekkan cerita, saya mewakili AJK PERKASIH menyeru sumbangan daripada bekas-bekas pelajar SMUK yang berkemampuan untuk menyumbang sedikit bantuan kewangan kepada pihak SMUK bagi meringankan beban menanggung perbelanjaan projek tersebut. Apalah sangat nilai sumbangan RM50,100,200,500 jika nak dibandingkan dengan limpahan ilmu duniawi dan ukhrawi serta pelbagai hikmah dan pengalaman hidup yang kita telah perolehi bertahun-tahun daripada guru-guru di SMUK. Walaupun mampu, memang susah untuk kita keluarkan wang ringgit dan harta benda untuk sesuatu yang ganjaran atau balasannya tidak dapat diterima dan dilihat secara fizikal. Kita cenderung mencari alasan yang pelbagai. Marilah kita tepuk dada tanya diri sendiri, ”Nak atau Tidak? Sanggup atau Tidak?” Kalau jawapannya YA! kita pasti akan mencari seribu jalan dan cara untuk sampaikan sumbangan kepada yang memerlukan. Jika tidak mampu dengan wang ringgit, kita boleh membantu dengan menyebarkan berita ini atau mencari dana daripada mereka yang berkemampuan atau apa saja bentuk bantuan yang munasabah.




Sumbangan anda juga boleh disalurkan melalui Agro Bank di No. Akaun 1005-0610-0001-2441, atau dengan cek atas nama Surau Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Kuala Nerang dan dihantarkan kepada Pengetua SMA Al-Khairiah, Km.38, Jalan Empangan Pedu, 06300 Kuala Nerang, Kedah.

Anda juga boleh menghubungi pihak sekolah di talian 04-7866721 atau bercakap terus dengan Penolong Kanan HEM, Ustaz Mohd Rejab Saad 019-4059607 untuk maksud tersebut. Bagi anda yang memerlukan surat rasmi daripada pihak sekolah serta gambar-gambar surau tersebut, sila hubungi saya melalui email faaqirul_ilmiey@yahoo.com atau telefon 013-4552003/ 019-3852165 atau hubungi saudari Napisah Karimah binti Hj Ismail melalui email n_karimah820326@yahoo.com