Saturday, July 19, 2008

Konfrontasi di Sempadan Kemboja-Thai makin tegang




Kini sudah memasuki hari keenam konfrontasi di antara Thailand dan Kemboja di kawasan yang mencetuskan pertikaian berhampiran sebuah kuil Hindu purba di sempadan kedua negara itu. Masing-masing telah menambah lagi bilangan askar di sekitar sebuah pagoda kecil Buddha di lereng sebuah gunung menuju ke Kuil Preah Vihear yang dibina pada abad ke-11.
Konfrontasi ini berikutan isu trespass di kawasan tersebut yang didakwa oleh Kementerian Luar Thai sebagai satu pencabulan kedaulatan dan keutuhan wilayah Thai. Ia merujuk kepada penubuhan komuniti Kemboja termasuk pembinaan sebuah tokong dan rumah serta penempatan askar Kemboja di kawasan itu. Perdana Menteri, Samak dilaporkan telah menuduh Kemboja melanggar perjanjian sedia ada untuk tidak melakukan aktiviti pembinaan di kawasan yang dipertikaikan.
Tetapi bagi pihak Kemboja, lain pula ceritanya. Seorang pegawai tinggi kerajaan menjawab dakwaan Thai dengan menyatakan bahawa kawasan yang menjadi pertikaian itu adalah sememangnya wilayah mereka seperti di dalam peta. Konfrontasi itu hampir mencetuskan pertempuran apabila askar kedua-dua pihak mengacukan senjata ke arah satu sama lain selama 10 minit sewaktu 50 askar Kemboja memasuki pekarangan pagoda untuk melindungi bekalan makanan bagi berpuluh-puluh sami.
Demi keamanan serantau Asia Tenggara, kita perlu mendoakan agar mesyuarat di antara pegawai dari kedua-dua Negara akan berhasil mencapai kata sepakat ke arah menamatkan pertikaian. Hubungan di antara kedua-dua negara itu akan terjejas teruk sekiranya ia tidak dapat diselesaikan secara diplomasi di meja runding. Malah, yang paling kita takuti adalah apabila persengketaan ini jika tidak diatasi akan mengancam nyawa malah mengorbankan mereka yang tidak berdosa di kawasan itu.

No comments: