Monday, September 22, 2008

Penubuhan PERSADA Sebagai Platform Mahasiswa Kedah


“Apa habaq mahasiswa Kedah di seluruh dunia?Dah tau ka belum la ni kita dah ada NGO untuk mahasiswa anak Kedah?Jangan dok ghalit lagi, jom kita pakat-pakat amik tau menatang pa PERSADA ni..mengapa dan kenapa ia ditubuhkan?apa faedahnya untuk mahasiswa khususnya dan rakyat Kedah umumnya? Apa dan bagaimana yang kita buleh tolong PERSADA nih?Ni saya nak habaq mai, nak tolong promote bagi pihak jawatan kuasa Penaja PERSADA”

Baru-baru ini, sebuah badan NGO baru, yang dinamakan Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) telah berjaya ditubuhkan hasil inisiatif sahabat-sahabat aktivis mahasiswa Kedah yang saya yakin didominasi oleh Saudara Faisal Mustafa dan sahabat-sahabat anak Kedah di UM. Tahniah atas usaha murni ini. Ini akan membuka lembaran baru dalam sejarah sumbangan bakti mahasiswa-mahasiswa dalam usaha untuk turut serta membangunkan negeri Jelapang Padi ini. Sudah pasti keprihatinan, kepekaan dan kesungguhan terhadap perpaduan rakyat, semangat integrasi, soal-soal kebajikan dan juga sumbangan serta khidmat bakti mereka kepada masyarakat di negeri Kedah akan menjadi fokus utama NGO baru ini.

Persatuan Mahasiswa Darul Aman atau ringkasannya PERSADA, ditubuhkan dibawah ikatan amanah dan dijadikan sebagai satu medium terbaik untuk mahasiswa-mahasiswa Kedah, sama ada yang berada di dalam dan juga di luar negara, menggagaskan dan memperluaskan peranan mereka hingga mencapai tahap yang optimum, demi kebaikan seluruh mahasiswa anak-anak Kedah dan masyarakat khususnya untuk rakyat negeri Kedah itu sendiri.PERSADA menaungi semua persatuan-persatuan mahasiswa dan pelajar negeri Kedah di setiap IPTA dan IPTS, persatuan mahasiswa dan pelajar di semua Institut Perguruan dan maktab, kolej-kolej, politeknik-politeknik, sama ada di dalam dan juga di luar Negara. Penubuhannya perlu disokong sepenuhnya kerana ia diharap mampu menjadi wadah kesatuan buat semua mahasiswa anak jati negeri tersebut.

PERSADA yang telah didaftarkan secara sah dan rasmi sebagai sebuah badan NGO yang bebas, turut menyertai gabungan badan-badan NGO seluruh negeri Kedah yang lebih dikenali sebagai WEHDAH.

Antara matlamat penubuhan PERSADA ini ialah untuk menganjurkan sebarang aktiviti kebajikan bagi mahasiswa-mahasiswa Kedah yang berada di dalam mahupun di luar negara. PERSADA juga bermatlamat untuk menjayakan dan melaksanakan kerja-kerja ke arah memaksimumkan pengupayaan mahasiswa dan masyarakat melalui peningkatan ilmu, kemahiran, pengalaman dan daya inisiatif untuk membangunkan mereka dengan nilai-nilai murni yang kondusif.

PERSADA turut bertujuan untuk mengadakan kerjasama dengan badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan di peringkat negeri dan juga nasional dalam usaha mencapai matlamatnya. Penubuhan PERSADA secara tuntasnya bertindak sebagai wadah yang dapat mengemblengkan tenaga, idea, gerak kerja dan usaha, seterusnya memacu mahasiswa Kedah di seluruh Malaysia dan di luar negara, untuk memberi dan mencurahkan khidmat bakti kepada masyarakat.

Menurut Presiden Penaja PERSADA, Mohd Faisal bin Mustaffa, dengan termaktubnya PERSADA ini sebagai badan NGO berdaftar, beliau berharap PERSADA dapat menjadi medan terbaik untuk mahasiswa-mahasiswa Kedah dari pelbagai kaum dan agama, sama ada di dalam dan di luar negara, berkumpul dan duduk di bawah naungan yang satu, iaitu PERSADA, demi penyatuan mahasiswa Kedah itu sendiri.

Beliau juga menegaskan bahawa melalui PERSADA jugalah mahasiswa dapat bergerak dengan lebih aktif untuk membantu masyarakat terutamanya di negeri Kedah, di atas nama sebuah badan NGO yang sah.

Hasrat beliau lagi agar PERSADA yang ditubuhkan atas dasar menyedari kepentingan hubungan keintelektualan mahasiswa dengan masyarakat, dalam mendepani arus sebenar dalam dunia masa kini, mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, bagi merealisasikan apa yang telah direncanakan.

No comments: