Tuesday, October 14, 2008



Puasa Sunat Syawal

Oleh DR. ABDUL BASIT ABD. RAHMAN


Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman (dalam hadis Qudsi) yang bermaksud: Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu)”.

(Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi. (Sahih Muslim no: 1151)



Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.
Abu Said Al-Khudri r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun. (Sahih al-Bukhari no: 2840) Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal.


Dalil puasa sunat Syawal


Abu Ayyub Al-Ansari r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun. (Sahih Muslim hadis no: 1164].
Di dalam hadis ini Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa setahun.


Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari.


Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah SWT maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.



Hikmah puasa sunat Syawal



Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadan antaranya menyebabkan sistem pencernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan.


(...Ketika menyambut Syawal, pantang ada makanan di depan mata, semua mahu disumbat ke mulut. Akibatnya, badan mungkin tidak lagi sekuat dan serajin ketika Ramadhan untuk melakukan ibadah..)

Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberi ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.



Selain itu, sebagai manusia yang menjadi hamba Allah, alangkah baik seandainya amalan puasa yang wajib pada bulan Ramadan ini kita teruskan di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari.
Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada tuhannya. Sebab itulah kata ulama: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadan, sedangkan pada bulan lain Allah SWT dilupai”.

No comments: