Wednesday, July 23, 2008

Dekatkah Kita Dengan Allah?

Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah
Oleh : Ustaz Ismail Sabri
21 Julai 2008, 09.30 malam
Bilik Seminar,
Kuliyyah Ilmu Wahyu dan
Sains Kemanusiaan, UIAM


Alhamdulillah, saya diberi kesempatan oleh Allah untuk menghadiri satu majlis ilmiah yang mengupas sebuah kitab berkaitan pemantapan rohani, Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah karangan Said Hawa. Kesibukan dengan kerja kursus dan program-program lain membuatkan ramai mahasiswa kurang bersemangat untuk menziarahi ‘taman-taman syurga’ seperti ini. Apatah lagi mereka yang memilih untuk menonton televisyen, berborak di kafe-kafe, melayani permainan komputer dan berbagai lagi aktiviti yang kurang manfaatnya.



Padahal, banyak kuliah-kuliah agama dan diskusi ilmiah yang dianjurkan oleh pelbagai institusi dan organisasi mahasiswa. Tidak perlu membayar wang pendaftaran atau memakai pakaian tertentu. Cuma sikap ‘mahu’ dan keikhlasan menuntut ilmu menjadi penentu komitmen seseorang. Namun saya sendiri pun bukanlah tergolong di kalangan mereka yang menjadikan kuliah-kuliah agama sebagai rutin harian. Alangkah ruginya membiarkan dada ini kosong, tidak terisi dengan mutiara ilmu yang banyak tak terhingga.



Pada malam itu, penceramah memetik kata-kata Said Hawa. “…Zaman sekarang adalah zaman syahwah dan maddiyyah (materialistik), maka perlu kepada Tarbiyyah Ruhiyyah…” Tarbiah kerohanian sangat penting terutama kepada mereka yang berintima’ dengan gerakan Islam. Sebab itu, para ulama yang masyhur dalam gerakan dakwah mengaitkannya dengan meletakkan ciri-ciri sebuah gerakan Islam. Umpamanya, Syeikh Mustafa Masyhur menyatakan bahawa antara cirinya adalah Rabbaniyyah. Manakala Al-Imam Hassan Al-Banna menyifatkan gerakan Ikhwanul Muslimin sebagai sebuah jemaah Islam yang mempunyai beberapa ciri seperti Sufi, Sunni, Siasah, Ekonomi dan beberapa ciri lain bagi menggambarkan ciri kesyumulan Islam yang ada pada identiti pertubuhan itu.



Maka ciri Rabbaniyyah dan Sufi inilah yang menekankan kepada pendokong-pendokong gerakan dakwah untuk membina hubungan ketauhidan yang kuat dengan Allah s.w.t. Aspek ketuhanan atau iman dan taqwa menjadi akar kepada segenap tindak-tanduk ahli dalam kehidupan sehariannya dan dalam menggerakkan kerja-kerja Islam. Ibadah khusus dan sunat yang menjadi rutin harian akan memberi kekuatan rohani dan membuka pintu hidayah Allah s.w.t kepada seluruh ahli. Maka ahli-ahli mestilah sentiasa berusaha mengejar keredhaan Allah s.w.t.
Tetapi realitinya sekarang, kata penceramah, penghayatan di kalangan ahli sangat menyedihkan. Ia boleh diukur dengan kehadiran ke program-program kerohanian dan ilmiah. Sangat sedikit. “..Asyik-asyik muka yang sama. Di mana yang lain? Adakah mereka sudah mantap imannya dan sudah cukup ‘alim? Mungkin mereka dah ‘alim, dah baca banyak kitab-kitab, buku-buku ilmiah yang banyak tersusun di rak dalam bilik.” Penceramah melontarkan persoalan-persoalan yang sangat sinis.

Tambahnya lagi, tidak hairan jika wujud masalah komitmen di kalangan ahli kalau aspek tarbiyah dan kerohanian tidak dititikberatkan. Beliau memberi contoh, “..Kita ni solat, tapi solat tanpa ingat Allah, macam mana nak dapat hidayah dari Allah? Saya kata kepada diri sayalah, yang di depan saya ni semua bagus-bagus!” MasyaAllah.. Nah, sekali lagi jenaka sinis dilontarkan. Beberapa kali beliau mengulang jenaka sinis itu. Pasti ramai yang menundukkan kepala tanda akur atau insaf. Sekurang-kurang insaf sekejap pada malam itu.



Beliau juga menyentuh Usul ke-3 dalam Usul ‘isyrin, Risalah Ta’lim yang menegaskan bahawa kita mesti memiliki “al-Imaan al-Saadiq, wa al-ibaadah as-Sahiihah wa al-Mujahadah..”
Antara lain yang disentuh adalah kisah bagaimana Abu Darda’ memeluk Islam, kemudian diutuskan oleh Saidina Umar r.a. ke Damsyik untuk berdakwah. Kehidupannya di sana sangat zuhud kerana Abu Darda’ berpegang dengan Hadis Rasulullah yang mengingatkan bahawa dunia ini hanyalah bekalan ke akhirat. Beliau meninggalkan segala kesenangan dunia untuk mengabdikan diri kepada kerja-kerja dakwah. MasyaAllah..kita? Apa yang kita buat? Selalu saja kita mengeluh tidak cukup dengan itu dan ini.




Terakhir sebagai kisah teladan, penceramah menceritakan kehebatan Sultan Muhammad Al-Fatih yang berjaya mengetuai tenteranya untuk membuka kota Konstantinopel. Satu faktor kekuatannya adalah kerana beliau tidak tidak pernah meninggalkan solat Tahajjud. Allahuakbar…kita bagaimana? Seminggu sekali? Sebulan sekali? Atau hanya ketika program-program yang ada pengisian Qiamullail? Astagfirullah..
Hanya kita sendiri yang mengetahui setakat mana hubungan kita dengan Allah s.w.t. Semakin dekat atau semakin jauh dari Allah..pasti kita tahu menilainya. Dan hanya kita jualah yang boleh mengubahnya.




Marilah sahabat-sahabat, kita tepuk dada tanya iman..Sudah layakkah kita mencium bau syurga Allah, sudah selamatkah kita dari neraka Allah andai pada hari ini, pada saat ini, kita dijemput Izraail kembali ke Rahmatullah? Semoga Allah membimbing kita semua.

No comments: