Monday, August 4, 2008

KEMERDEKAAN : KEMBALIKAN SEMANGAT DEKLARASI PERMATANG PAUH

(.. MERDEKAKAH?! MERDEKAKAH?!!..)


31 Ogos yang bakal menjelang beberapa hari lagi. Ia membawa signifikasi besar dalam perjuangan membebaskan rakyat Malaysia dari penjajahan dan penindasan. Kita bakal meraikan 51 tahun kemerdekaan negara kita. Tetapi sudah bolehkah kita berbangga dengan 'kemerdekaan' yang dinikmati oleh seluruh masyarakat Malaysia pada hari ini. Sejauh manakah ruang kemerdekaan dari panjajahan dimanfaatkan untuk menuntut dan merealisasikan maksud 'kemerdekaan' yang menyeluruh.


Hakikatnya, menjelang 51 tahun kemerdekaan Malaysia, setiap warga negaranya akan menyambut ulang tahun ini dengan peningkatan kos hidup yang tinggi. Kita sedang menanggung beban kenaikan harga minyak yang telah membawa kepada kenaikan harga barang-barang asas lain. Tidak berakhir di situ, kenaikan harga tiket bas pula bakal menyusul musim Aidilfitri nanti. Siapa mangsa kepada semua ini? Pasti yang teruk menanggungnya adalah rakyat kebanyakan. Mungkin tidak bagi tauke-tauke besar, bangsawan-bangsawan dan mereka yang yang punya ‘kelas’ masing-masing. Yang punya kereta-kereta mewah, rumah-rumah dan kilang-kilang besar. Apatah lagi yang hanya duduk menggoyang kaki menunggu wang suapan beribu-ribu malah berjuta-juta ringgit.




Ayuh kita menoleh sejenak dan menghayati falsafah dan makna kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar. Kemerdekaan bagi sebahagian ahli politik bermakna bebas dari penjajahan dan bebas dari segala bentuk penindasan dan eksploitasi. Kemerdekaan juga membawa erti jaminan keadilan dalam bentuk pengagihan ekonomi dan penegakan hukum.



Namun erti kemerdekaan bagi seorang muslim pasti lebih komprehensif. Marilah kita menghayati dan sama-sama memperjuangkan erti kemerdekaan yang bertunjangkan tauhid kepada Sang Pencipta, yang mampu membawa kesejahteraan kepada sekalian manusia.





ERTI KEMERDEKAAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM.



Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam terkandung di dalam kata-kata Rub'ie bin A'mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:





Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.Rub'ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.



Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah saw berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi?



Ini bermakna: kemerdekaan yang sebenar ialah:



Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada:




  1. Bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya.

  2. Kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum allah swt bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.


Memerdekakan manusia daripada ikatan agama yang direka oleh manusia samada:



1. Agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan.



2. Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang dibenarkan oleh Syariat.



Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui:



1. Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan.



2. Menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang sebenar.



Justeru itu: Kemerdekaan yang sebenar ialah :



Membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia.



Membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan islam.



( Memetik tulisan Ustaz Zaharudin Mohamad)




Semangat kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar ini pasti dapat dicapai sekiranya seluruh pencinta keadilan serta politikus kembali membawa semangat reformasi dalam pelbagai aspek yang diterjemahkan dalam Deklarasi Permatang Pauh seketika dulu. Terutama mereka yang terlibat dalam merangka deklarasi ini, yang kini MUNGKIN sudah tersasar dengan kepentingan politik peribadi, wang, kuasa dan sebagainya. Tidak terkecuali juga mereka yang mungkin sudah mengangkat tangan mengaku kalah atau berputus asa. Sesungguhnya deklarasi ini memperlihatkan sedikit refleksi kepada Piagam Madinah yang dibuat oleh baginda Rasulullah s.a.w.





DEKLARASI PERMATANG PAUH



Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud “ tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami ” ;

Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat; Dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat dan memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula; Maka kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekat untuk melancarkan gerakan reformasi yang menyeluruh:

Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani,dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram di belenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;

Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;

Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi. Demokrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;

Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi,menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu;

Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan mahakaya;

Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;

Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.

Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.

Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi.

Permatang Pauh
12 September 1998

Monday, July 28, 2008

Sumbangan SAR Yang Kurang Dihargai

"Mai cepat tengok result, hang dapat mumtaz ni!", kata Puan Pengetua, Hjh. Zalihah Ibrahim yang masih di dalam van bersama suaminya, Ustaz Ismail Taib ketika mereka melintasi tempat saya tengah memberi arahan kepada sekumpulan peserta satu program. Mereka menuju ke pejabat pentadbiran sekolah membawa keputusan penuh STAM dan STPM yang baru saja diambil dari Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap. "Biar betul Ustazah ni..betul ka aku dapat Mumtaz?", fikirku dalam hati. Kalau benar, MasyaAllah..segala usaha dan doaku dimakbulkan Allah. Namun, pernah saja Ustazah Zalehah melawak dengan pelajar-pelajarnya. Mungkin itu pun satu lawak antarabangsa darinya. Saya tidak terus pergi ke pejabat, tapi terus bersama pelajar-pelajar junior tadi.

(..SMA Al-Khairiah, Kuala Nerang, Kedah. Tempatku beralih arah selepas dua tahun bersekolah di kawasan bandar. Ternyata ketenangan desa memberikan ilham yang pelbagai kepadaku..)
(..Sekalipun hanya sebuah Sekolah Agama Rakyat, tapi prestasi akademiknya setanding dengan SMK di seluruh negeri Kedah. Kekurangan tidak semestinya menggagalkan..)




Seketika selepas itu, sahabat-sahabat seangkatan mengajak saya ke pejabat sekolah. ahh..berdebar-debar hati kami. Apakah usaha kami selama setahun membuahkan hasil yang menggembirakan, atau mengecewakan. Fuhh..dah hampir lima bulan menggu saat ini. Tapi bila saatnya sudah tiba, terasa seperti tidak mahu menghadapinya pula. Aduh pelik perasaan ini. Saat itu juga sudah ada yang bercakap-cakap, "Ada dua orang dapat Mumtaz!". Sahabatku, Fauzi sudah pasti salah seorangnya, pantas aku meneka. Kenapa tidak, memang he's the best ever, no one above him! Tak kasi chance kat orang lain langsung. Sejak dari PMR sampai la STAM ni..Tapi seorang lagi siapa? Mesti Aziah tak pun Mat Khir, depa pun power! Monologku sendirian. Bukan senang ingin kuasai kesemua 13 mata pelajaran yang ditawarkan dalam STAM. Kesemuanya diajar di dalam bahasa Arab. Tidak mudah difahami. Berbuih mulut menghafal.

"Tahniah, dapat Mumtaz. Hebat-hebat!" Mumtaz, hampir kesemua 13 subjek! Memang benar telahan semua orang. Fauzi lagi..! Memang dia paling layak untuk menerima penghargaan itu. Kami berpelukan berkongsi kegembiraan. Dia ibarat guru bagi kami. Hampir untuk kesemua subjek, sejak dari PMR, SMRA, SPM dan STAM, kami merujuk kepadanya...to be continued!


(..Yeahh, we get it! Sebahagian dari pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam STAM dan STPM bergambar bersama Puan Pengetua..)

Wednesday, July 23, 2008

Keadilan Untuk 8000 Korban Umat Islam Bosnia

( Penjenayah perang yang paling dikehendaki PBB, Radovan Karadzic )


Pasti kita juga turut berkongsi kegembiraan umat Islam di Bosnia yang menyambut berita penangkapan penjenayah perang dikehendaki PBB, Radovan Karadzic untuk dihadapkan ke Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia (ICTY) di hadapan hakim siasatan Mahkamah Jenayah Perang di Belgrade.


Radovan dan rakannya yang juga panglima tentera Serb, Ratko Miladic berjaya mengelakkan diri daripada ICTY sejak 1995 selepas didakwa melakukan jenayah perang, pembunuhan kaum dan jenayah kemanusiaan semasa Perang Bosnia 1992-1995. Mereka telah melakukan satu pembersihan etnik paling kejam di Eropah sejak Perang Dunia Kedua. Hanya Ratko Miladic belum dapat dikesan pada saat ini.


Seluruh umat Islam mesti ingat bahawasanya pada Julai 1995 pasukan tentera Serb Bosnia di bawah pimpinan Radovan Karadzic dipercayai telah membunuh lebih 8,000 orang Islam yang terperangkap dalam wilayah Grbavica yang dikuasai puak Serb. Pasti penangkapan ini akan memberi harapan kepada waris 8000 korban umat Islam dan berpuluh ribu yang lain untuk melihat penjenayah kejam ini dihukum dengan seadilnya. Sudah 13 tahun mereka menanti. Bayangkan perasaan seorang perempuan yang kehilangan 22 saudaranya akibat dibunuh tentera Radovan Karadzic.

Karadzic pernah menyatakan puak Serb tidak boleh hidup dengan selamat bersama etnik Balkan yang lain, dan mereka memerlukan sebuah negara yang tulin dan selamat untuk Serbia sahaja. Mungkin yang dimaksudkan seperti negara haram Israel sekarang ini. Dari sumber yang saya dapat mengatakan antara cara pembunuhan oleh Karadzic ialah memotong kemaluan mangsa, menyembelih ibu yang sedang mengandung dan mengejar lelaki-lelaki yang melarikan diri ke dalam hutan. Dari saksi yang melihat, tentera Serb menyamar sebagai Pasukan Pengaman PBB untuk mengelabui mata dan memancing warga muslim. Mayat-mayat pembunuhan dikuburkan dalam beberapa kubur besar, dan ada yang digali semula dan dipindahkan pula ke kubur-kubur kecil bagi menutup jejak pembunuhan. Ada antara mayat yang dijumpai bercerai berasingan dalam tiga kubur berbeza. Lihatlah gambar-gambar dibawah. Ia hasil kekejaman mereka yang tidak punya hati dan perasaan.


Mungkin kita perlu menonton sebuah filem bertajuk Flak Jacket lakonan Richard Gere yang telah dibuat pada tahun 2006 untuk melihat gambaran kekejaman penjenayah perang Radovan Karadzic . Filem ini adalah mengenai Gere sebagai wartawan yang memburu maklumat mengenai Karadzic.


Radovan Karadžić pernah bercakap di parliamen Bosnia , antara 14-15 Oktober 1991, katanya :
"You want to take Bosnia-Hercegovina down the same highway of hell and suffering that Slovenia and Croatia are travelling. Do not think that you will not lead Bosnia-Hercegovina into hell, and do not think that you will not perhaps lead the Muslim people into annihilation, because the Muslims cannot defend themelves if there is war - How will you prevent everyone from being killed in Bosnia-Hercegovina?"





Kita mendoakan agar penjenayah ini dihadapkan ke muka pengadilan yang adil dan saksama dan dijatuhkan hukuman yang setimpal, apa lagi kalau bukan dibunuh saja. Keadilan untuk ribuan korban mesti ditegakkan. Tidak ada sesiapa pun yang harus terlepas dari undang-undang. No one above the law. Justice must be done and seen to be done!!

Dekatkah Kita Dengan Allah?

Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah
Oleh : Ustaz Ismail Sabri
21 Julai 2008, 09.30 malam
Bilik Seminar,
Kuliyyah Ilmu Wahyu dan
Sains Kemanusiaan, UIAM


Alhamdulillah, saya diberi kesempatan oleh Allah untuk menghadiri satu majlis ilmiah yang mengupas sebuah kitab berkaitan pemantapan rohani, Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah karangan Said Hawa. Kesibukan dengan kerja kursus dan program-program lain membuatkan ramai mahasiswa kurang bersemangat untuk menziarahi ‘taman-taman syurga’ seperti ini. Apatah lagi mereka yang memilih untuk menonton televisyen, berborak di kafe-kafe, melayani permainan komputer dan berbagai lagi aktiviti yang kurang manfaatnya.



Padahal, banyak kuliah-kuliah agama dan diskusi ilmiah yang dianjurkan oleh pelbagai institusi dan organisasi mahasiswa. Tidak perlu membayar wang pendaftaran atau memakai pakaian tertentu. Cuma sikap ‘mahu’ dan keikhlasan menuntut ilmu menjadi penentu komitmen seseorang. Namun saya sendiri pun bukanlah tergolong di kalangan mereka yang menjadikan kuliah-kuliah agama sebagai rutin harian. Alangkah ruginya membiarkan dada ini kosong, tidak terisi dengan mutiara ilmu yang banyak tak terhingga.



Pada malam itu, penceramah memetik kata-kata Said Hawa. “…Zaman sekarang adalah zaman syahwah dan maddiyyah (materialistik), maka perlu kepada Tarbiyyah Ruhiyyah…” Tarbiah kerohanian sangat penting terutama kepada mereka yang berintima’ dengan gerakan Islam. Sebab itu, para ulama yang masyhur dalam gerakan dakwah mengaitkannya dengan meletakkan ciri-ciri sebuah gerakan Islam. Umpamanya, Syeikh Mustafa Masyhur menyatakan bahawa antara cirinya adalah Rabbaniyyah. Manakala Al-Imam Hassan Al-Banna menyifatkan gerakan Ikhwanul Muslimin sebagai sebuah jemaah Islam yang mempunyai beberapa ciri seperti Sufi, Sunni, Siasah, Ekonomi dan beberapa ciri lain bagi menggambarkan ciri kesyumulan Islam yang ada pada identiti pertubuhan itu.



Maka ciri Rabbaniyyah dan Sufi inilah yang menekankan kepada pendokong-pendokong gerakan dakwah untuk membina hubungan ketauhidan yang kuat dengan Allah s.w.t. Aspek ketuhanan atau iman dan taqwa menjadi akar kepada segenap tindak-tanduk ahli dalam kehidupan sehariannya dan dalam menggerakkan kerja-kerja Islam. Ibadah khusus dan sunat yang menjadi rutin harian akan memberi kekuatan rohani dan membuka pintu hidayah Allah s.w.t kepada seluruh ahli. Maka ahli-ahli mestilah sentiasa berusaha mengejar keredhaan Allah s.w.t.
Tetapi realitinya sekarang, kata penceramah, penghayatan di kalangan ahli sangat menyedihkan. Ia boleh diukur dengan kehadiran ke program-program kerohanian dan ilmiah. Sangat sedikit. “..Asyik-asyik muka yang sama. Di mana yang lain? Adakah mereka sudah mantap imannya dan sudah cukup ‘alim? Mungkin mereka dah ‘alim, dah baca banyak kitab-kitab, buku-buku ilmiah yang banyak tersusun di rak dalam bilik.” Penceramah melontarkan persoalan-persoalan yang sangat sinis.

Tambahnya lagi, tidak hairan jika wujud masalah komitmen di kalangan ahli kalau aspek tarbiyah dan kerohanian tidak dititikberatkan. Beliau memberi contoh, “..Kita ni solat, tapi solat tanpa ingat Allah, macam mana nak dapat hidayah dari Allah? Saya kata kepada diri sayalah, yang di depan saya ni semua bagus-bagus!” MasyaAllah.. Nah, sekali lagi jenaka sinis dilontarkan. Beberapa kali beliau mengulang jenaka sinis itu. Pasti ramai yang menundukkan kepala tanda akur atau insaf. Sekurang-kurang insaf sekejap pada malam itu.



Beliau juga menyentuh Usul ke-3 dalam Usul ‘isyrin, Risalah Ta’lim yang menegaskan bahawa kita mesti memiliki “al-Imaan al-Saadiq, wa al-ibaadah as-Sahiihah wa al-Mujahadah..”
Antara lain yang disentuh adalah kisah bagaimana Abu Darda’ memeluk Islam, kemudian diutuskan oleh Saidina Umar r.a. ke Damsyik untuk berdakwah. Kehidupannya di sana sangat zuhud kerana Abu Darda’ berpegang dengan Hadis Rasulullah yang mengingatkan bahawa dunia ini hanyalah bekalan ke akhirat. Beliau meninggalkan segala kesenangan dunia untuk mengabdikan diri kepada kerja-kerja dakwah. MasyaAllah..kita? Apa yang kita buat? Selalu saja kita mengeluh tidak cukup dengan itu dan ini.




Terakhir sebagai kisah teladan, penceramah menceritakan kehebatan Sultan Muhammad Al-Fatih yang berjaya mengetuai tenteranya untuk membuka kota Konstantinopel. Satu faktor kekuatannya adalah kerana beliau tidak tidak pernah meninggalkan solat Tahajjud. Allahuakbar…kita bagaimana? Seminggu sekali? Sebulan sekali? Atau hanya ketika program-program yang ada pengisian Qiamullail? Astagfirullah..
Hanya kita sendiri yang mengetahui setakat mana hubungan kita dengan Allah s.w.t. Semakin dekat atau semakin jauh dari Allah..pasti kita tahu menilainya. Dan hanya kita jualah yang boleh mengubahnya.




Marilah sahabat-sahabat, kita tepuk dada tanya iman..Sudah layakkah kita mencium bau syurga Allah, sudah selamatkah kita dari neraka Allah andai pada hari ini, pada saat ini, kita dijemput Izraail kembali ke Rahmatullah? Semoga Allah membimbing kita semua.

Sunday, July 20, 2008

Perkampungan Tullab Anjuran PERKASIH

Seperti tahun-tahun yang lepas, sekali lagi saya menjalankan amanah sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar SMA Al-Khairiah (PERKASIH) bersama rakan-rakan alumni yang lain turun ke sekolah itu untuk menganjurkan Perkampungan Tullab pada 26-28 Jun lepas. Program ini diadakan khusus untuk membantu pelajar-pelajar SPM, STAM dan STPM bagi meningkatkan motivasi belajar serta memberi pendedahan kepada petua bijak belajar, pengurusan masa, kaedah-kaedah menjawab dan sebagainya. Alhamdulillah, program tersebut mendapat sokongan kewangan dari Yayasan Islam Negeri Kedah, Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nasir Zakaria, Pejabat Zakat dan sumbangan daripada alumni serta korporat. Pelbagai pengisian menarik diketengahkan sepanjang program tiga hari itu. Bermula dengan slot Introduction to University (i2u), diikuti Seminar Menjawab SPM. STAM dan STPM, Kembara Hikmah, Muhasabah Diri bersama waris, Ceramah Motivasi oleh Kaunselor jemputan, ceramah pengurusan diri dan masa, Latihan Dalam Kumpulan bersama fasilitator, bacaan Yasin untuk peperiksaan lisan, slot Bersama YB, Qiamullail dan lain-lain. Sebagai pihak penganjur, kami sangat berpuas hati dengan program ini malah terharu bila mendapat komen yang baik dari peserta, waris dan pihak sekolah. Namun, segala yang baik itu harus dipulangkan kepada Allah. Perancangan-Nya merestui perancangan kami dengan mempermudahkan segala urusan dan menjadikannya satu program yang sukses. Alhamdulillah..terima kasih tak terhingga kepada rakan-rakan yang terlibat. Semoga Allah membalas dengan ganjaran kebaikan.




Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nasir Zakaria sudi turun padang untuk menyampaikan amanat kepada pelajar-pelajar SMA Al-Khairiah. Beliau sangat memberi perhatian kepada golongan belia dan remaja sebagai aset penentu masa depan umat.



Penekanan kepada pembentukan sakhsiah diri yang unggul dan penerapan tarbiyah Islamiyah sangat diperlukan demi menyediakan modal insan yang hebat. Maka inilah tanggungjawab yang mesti dipikul oleh mahasiswa Islam.


Slot yang membuatkan semua orang terharu. Saya pun tewas, tak mampu menahan air mata mengenang jasa ibu ayah dan menyelami hakikat diri sebagai makhluk Allah. Muhasabah diri adalah satu cara berkesan untuk meningkatkan motivasi diri dan menanam azam yang tinggi dalam diri setiap pelajar. Kasih sayang, perhatian dan sokongan ibu bapa adalah wajib demi kecemerlangan mereka.


Kerjasama alumni kepada pihak sekolah seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR) ini semakin diperlukan sejak penarikan balik bantuan Perkapita oleh kerajaan pada 2001. Alumni seperti Ustaz Yusof Saleh ini wajar dijadikan contoh insan cemerlang yang 'tidak lupakan rumput di bumi'. Sentuhannya dalam slot muhasabah cukup menyusup kalbu. Terima kasih kepada Ustaz Yusof.


Semangat kerjasama, toleransi dan kreativiti adalah elemen penting yang perlu dimiliki oleh seorang Muslim. Pelbagai masalah ummah akan berjaya diatasi sekiranya elemen-elemen ini diaplikasikan umat Islam di pelbagai peringkat dan status. Ternyata bahawa Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik teladan dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan yang timbul di tengah-tengah masyarakat majmuk.

Program Pertukaran Pelajar Ke Jogjakarta, Indonesia

(..8 daripada 10 orang delegasi AIKOL UIAM ke Universitas Muhammadiyah Jogjakarta. Bergambar di asrama tempat penginapan kami. 2 orang yang tidak ada dalam gambar adalah Hanif Mohsin dan Rashidah..)

Satu pengalaman paling berharga pernah saya alami. Pada 3 Mei 2008, seramai 10 orang mahasiswa Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim (AIKOL) UIAM telah dihantar ke Jogjakarta, Indonesia untuk menjalankan misi Program Pertukaran Pelajar antara AIKOL UIAM dan Fakultas Hukum Universitas Muhammadiyyah Jogjakarta (UMY). UMY adalah sebuah universiti swasta milik Muhammadiyah, sebuah gerakan dakwah yang terkenal di Indonesia. Program ini berlangsung selama satu bulan. Ia membuka ruang kepada pertukaran dan perkongsian akademik, budaya serta mempereratkan silaturrahim antara delegasi AIKOL dan UMY, selain sebagai 'duta' kedua-dua negara. Sepanjang sebulan itu, kami menginap di bilik tetamu yang disediakan di asrama puteri UMY. Dari awal kami menjejak kaki di lapangan terbang Adisucipto, Jogjakarta, kami sepuluh orang telah diberi sambutan hangat oleh mahasiswa-mahasiswa Fakultas Hukum UMY. Mobil UMY juga sudah bersedia untuk menjemput kami. Kebanyakan mereka adalah aktivis mahasiswa dan pendebat UMY. Ternyata orang Jogjakarta sangat ramah dan berbudi bahasa. Emm..mungkin seperti orang utara Malaysia!...to be continued

(..bersama Dr. Azmin, Dr. Azam, Dr. Iqbal, Pak Nasrullah dan teman-teman UMY dalam lawatan ke Candi Borobudur..)













(..ni pula ketika melawat Gunung Merapi yang masih aktif. Subhanallah..Kecantikan pemandangan

di sekitarnya memukau
pandangan manusia..)





(..saya dan dua rakan AIKOL, Shazali dan Anthony, bersama dua aktivis FH UMY, Rudy dan Irwan Syah selepas tamat perbincangan dua hala mengenai sistem perundangan dan kehakiman dan pelbagai isu membabitkan perlembagaan kedua-dua negara. Isu kebebasan sistem kehakiman, pilihanraya umum, demonstrasi dalam hak kebebasan bersuara, kebebasan media adalah antara isu hangat yang dibincangkan..)
(..ketika memperkenalkan diri kepada mahasiswa-mahasiswa UMY dalam satu majlis menyambut tetamu. Cubaan saya menggunakan bahasa Indonesia dan Jawa berjaya menarik perhatian mereka dan menerima tepukan..)
(..bukan senang untuk bergambar dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudoyono. Boleh bergambar di sebelah potretnya pun jadilah..)

Semangat Hijau Kuning Memburu Piala Malaysia





Sudah lama tak tumpukan perhatian kpd liga bola sepak tempatan. Sejak tulang lutut retak ketika bermain pada 2004, minat saya terhadap perkembangan bola sepak sedikit terhakis. Maklumlah, sudah tidak boleh ligat di padang lagi. Kecederaaan di bahagian sendi adalah sesuatu yg serius. Hmm..sebab itu ada teman yg berjenaka, "Lukman, lututnya longgar!", ketika memberi deskripsi tentang saya. Tapi ini tidak benar dan mesti dinafikan, kerana itu memberi persepsi yg negatif.
Minat terhadap perkembangan bola sepak Kedah kembali bersemarak apabila kini pasukan Kenari mempunyai barisan paling mantap. Terbukti pada tahun lepas bila Kedah berjaya merangkul tiga kejuaraan sekaligus. Ia telah melakukan 'hatrik'. Now, Kedah is on the track, to do the same!! Juara liga super dan piala FA sudah dirangkul. Hanya memburu satu lagi, Piala Malaysia!
Sehari lepas, Kedah mengutip tiga mata penuh dengan membelasah Sabah 5-1 pada malam yang penuh emosi berikutan kematian arkitek yang banyak membangunkan bola sepak sang Kenari, Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil, beberapa jam sebelumnya.
Sejurus selepas memastikan kemenangan di depan ribuan penonton di Stadium Darul Aman, jurulatih Azraai Khor Abdullah dan anak buahnya menziarahi jenazah di kediaman keluarganya di Jalan Sultanah.BEKAS Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star kira-kira jam 3.00 petang, 15 Julai lalu.
Teringat dulu ketika Kedah pernah berada di zaman kehebatannya. Ketika Allahyarham masih memimpin. Zaman Radhi Mat Din sebagai ketua pasukan, bersama pemain-pemain hebat lain seperti Nizam Adha, Manja Man, Sobri Ismail dan pemain-pemain import, Alumbumi Adigun serta Peter Nieketien. Masih ingat lagi, saya berkongsi minat dgn adik beradik termasuk kakak , mengumpul keratan akhbar yg memaparkan aksi-aksi skuad Kedah. Keratan-keratan itu disimpan di bawah tikar di dalam bilik tidur. Agak lucu. Mungkin tidak ada tempat yg sesuai untuk ditampal atau tidak punya wang untuk membeli album. Kenangan menonton final Piala Malaysia 1993 yg menyaksikan Kedah mengalahkan Singapura, masih dalam ingatan. Lebih-lebih lagi, bila saya terpaksa pergi ke rumah sepupu dan bermalam di sana semata-mata kerana tidak mahu melepaskan peluang itu. Di rumah ketika itu tidak ada televisyen..
Namun selepas beberapa tahun, skuad Kenari mengalami era kemerosotan berikutan gejala rasuah yg menghantui bola sepak Malaysia ketika itu. Baru setahun dua inilah Kedah kembali gah mendahului arena bola sepak Malaysia. Malah, kini tersenarai sebagai antara kelab terbaik di dunia!

Terakhir, takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri, insan yang telah banyak menyumbangkan jasa dalam pembangunan bola sepak tanah air. Allahyarham memiliki gaya dan idea tersendiri dalam memimpin pasukan mahupun persatuan. Beliau juga seorang yg lantang menyatakan pandangan dan kritikan. Pemergiannya satu kehilangan yang besar.